• Banjir, Kerajaan Pulau Pinang Akui Kesilapan

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 12 December 2017
    A- A+

    KOTA BHARU: Kerajaan Pulau Pinang mengakui banjir yang melanda negeri itu pada November lalu adalah pengajaran yang perlu diambil bagi mengubah kesilapan yang dilakukan.

    Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Perdagangan Domestik dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, berkata pihaknya tidak menjangkakan bencana alam seperti banjir bakal berlaku di negeri itu sehingga turut mengorbankan nyawa penduduk.

    "Kita akui sering alami banjir, namun tidak terfikir berlaku bencana sehingga menjejaskan hampir keseluruhannya dan sekali gus boleh dianggap sejarah terburuk kepada Pulau Pinang.

    "Dalam bencana yang berlaku bulan lalu ia turut mengakibatkan tujuh mangsa termasuk lima warga emas terkorban.

    "Perkara ini perlu segera diatasi dan dijadikan pengajaran, selain menganggap ujian Allah kepada Pulau Pinang supaya lebih waspada," katanya.

    Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan cek sumbangan bantuan banjir kepada Kelantan dan badan bukan kerajaan (NGO) di Kompleks Darul Naim (SUK), hari ini.

    Pada majlis berkenaan, bantuan berkenaan diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Kebajikan Kelantan, Mumtaz Md Nawi.

    Sumbangan wang tunai sebanyak RM100,000 dari Pulau Pinang itu turut disalurkan kepada NGO yang dikenal pasti bagi meringankan beban mangsa banjir di negeri ini.

    Abdul Malik turut mengalu-alukan kerjasama semua pihak bagi mewujudkan strategi dan kekuatan dalam menangani isu banjir.

    Sementara itu, Mumtaz turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Pulau Pinang kerana meneruskan bantuan banjir yang dimulakan sejak Kelantan mengalami bah kuning pada 2014.

    "Alhamdulillah, kini banjir di negeri ini sudah pulih dan kini kita hanya menunggu proses untuk mengagihkan bantuan kepada mangsa," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Banjir, Kerajaan Pulau Pinang Akui Kesilapan "