• Banglo Jadi Makmal Syabu

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Thursday, 21 December 2017
    A- A+

    Polis Selangor merampas dadah jenis syabu dan bahan mentahnya bernilai hampir RM1 juta selepas menyerbu banglo yang disyaki makmal memproses dadah berkenaan serta sebuah rumah masing-masing di Bandar Puteri dan Kampung Jawa, Klang, tiga hari lalu.

    Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata, dalam serbuan pada 4 petang di banglo berkenaan, pihaknya merampas 8.97 kilogram (kg) syabu dianggar bernilai RM628, 348 serta menahan dua lelaki tempatan berumur 37 dan 40 tahun.

    Beliau berkata, banglo itu dipercayai menjadi makmal memproses syabu untuk pasaran tempatan sejak lima bulan lalu.

    “Dalam serbuan itu, kita turut merampas wang tunai RM9,500 serta dua utas rantai emas dan menyita Mazda RX8,” katanya dalam sidang media, hari ini.

    Katanya susulan tangkapan tersebut, sepasukan polis memeriksa rumah di Kampung Jawa yang dipercayai digunakan sebagai stor simpanan, pada 7.30 malam hari sama.

    Ab Rashid berkata, polis kemudian merampas 54,382 mililiter cecair disyaki minyak meth, 1.05 kg syabu serta beberapa bahan kimia lain dan peralatan dipercayai untuk memproses dadah dengan nilai rampasan dianggarkan RM73,570.

    Dalam pada itu, beliau berkata siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai kaitan dengan geng kongsi gelap, malah lelaki berusia 37 tahun terbabit mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan pernah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 (LLPK).

    Katanya, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Rabu depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli pula memberitahu, jika siap diproses, minyak meth yang dirampas terbabit mampu menghasilkan dadah dengan nilai jualan sehingga RM2.4 juta.

    “Kedua-dua suspek dilihat pakar menghasilkan syabu kerana dadah yang dihasilkan berkualiti tinggi,” katanya.-Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Banglo Jadi Makmal Syabu "