• Bangkitlah Dari Tidur Anak Bangsaku

    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+

    Seramai 119 remaja berusia 14 hingga 17 tahun disaman atas pelbagai kesalahan trafik manakala dua ditahan kerana terbabit dengan lumba haram pada Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Kuala Perlis, Kangar, semalam.

    Operasi oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perlis itu bermula 5 petang hingga 10 malam.

    Ketua JSPT Perlis Deputi Superintendan Rusli Yahaya berkata, pihaknya memfokuskan remaja bawah umur yang menunggang motosikal.

    “Seramai 29 anggota dan pegawai JSPT terbabit dengan Op Samseng Jalanan.

    “Sepanjang cuti sekolah ini, kami menerima laporan Kuala Perlis menjadi tumpuan remaja bawah umur berkumpul di bahu lebuh raya selain berlumba motosikal,” katanya dihubungi hari ini.

    Menurut Rusli, pihaknya memeriksa 170 penunggang dan pembonceng berusia 14 hingga 25 tahun.

    Mereka kemudiannya diminta menolak motosikal masing-masing sejauh kira-kira tiga kilometer ke Balai Polis Kuala Perlis untuk pemeriksaan lanjut.

    “Beberapa remaja cuba lari daripada ditahan dengan menunggang motosikal melalui jalan sawah yang sempit dan berlumpur.

    “Bagaimanapun, mereka dapat ditahan. Apabila ditanya, mereka memberi alasan tiada lesen memandu dan bimbang ditahan,” katanya.

    Polis mengeluarkan saman terhadap 119 remaja atas kesalahan menunggang motosikal tanpa lesen dan beberapa kesalahan lain seperti mengubahsuai motosikal.

    “Dua ratus saman dikeluarkan dan 37 motosikal disita atas pelbagai rekod kesalahan.

    “Kami turut menahan penunggang berusia 18 dan 21 tahun kerana berlumba. Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan membahayakan keselamatan orang lain,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Bangkitlah Dari Tidur Anak Bangsaku "