• Bangkai Gajah Ditemui Dipercayai Ditembak

    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+

    SANDAKAN: Hanya seminggu selepas kematian gajah Pygmy Borneo di Ladang Desa, di Telupid, seekor lagi bangkai gajah ditemui di Hutan Simpan Kawag, pagi semalam.

    Bangkai Liningkung ditemui hampir reput oleh kakitangan Jabatan Perhutanan Sabah, selepas Pusat Penyelidikan Danau Girang (DGFC) menyedari gajah jantan itu yang sebelum dipasang kolar kurang pergerakan dan Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS) tidak menyediakan lokasi terkini haiwan itu.

    Ketika ditemui, gading gajah itu masih ada dan dipercayai ditembak oleh pemburu haram, namun dapat melarikan diri.

    Pengarah DGFC, Dr Benoit Goossens ketika dihubungi mengesahkan penemuan bangkai gajah itu.

    Katanya, gajah berkenaan dipasang kolar selepas dipindahkan dari Telupid ke Hutan Simpan Ulu Segama pada Mei tahun lalu, susulan konflik dengan penduduk di kawasan berkenaan.

    "Kita percaya gajah terbabit dapat lari daripada pemburu haram kerana gadingnya masih ada ketika ditemui.

    "Ia adalah gajah ketiga ditemui mati di kawasan yang sama selepas Sabre yang turut dipasang kolar dan seekor lagi gajah yang ditemui ditembak pada Disember lalu," katanya di sini, hari ini.

    Ia adalah kematian kesembilan spesies gajah Pygmy Borneo yang dilindungi sepenuhnya dalam tempoh 14 bulan.

    Rabu lalu, seekor gajah jantan berusia enam hingga tujuh tahun mati yang diselamatkan dari Ladang Desa, di Telupid, mati ketika menerima rawatan di Santuari Hidupan Liar Borneo, di Kinabatangan, dipercayai akibat ditembak pemburu haram.

    Bulan lalu, bangkai seekor gajah jantan dengan tiga kesan tembakan ditemui di Ladang Cenderamata, Jalan Merotai-Kalabakan, di Tawau, dipercayai ditembak pemburu haram.

    Pada September, dua bangkai gajah Pygmy Borneo dengan satu daripadanya dipercayai dibunuh pemburu haram bagi mendapatkan gadingnya ditemui di lokasi berasingan di Tawau dan Kinabatangan.

    Awal Ogos lalu, seekor gajah betina ditemui mati dengan kesan tembakan dalam sebuah ladang sawit berhampiran Hutan Simpan Malua dekat Kinabatangan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Bangkai Gajah Ditemui Dipercayai Ditembak "