• Bajet 2018 Inklusif Dan Menyeluruh

    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan nama yang paling mencerminkan Bajet 2018 yang dibentangnya pada 27 Oktober lepas, adalah “Bajet Inklusif dan Menyeluruh”.

    “Ini adalah kerana Bajet 2018 menyentuh keperluan dan kehendak setiap lapisan masyarakat, tiada yang tertinggal.

    “Daripada golongan B40, M40, T20, kepada pesawah, petani, pekebun kecil, nelayan, warga emas, orang kelainan upaya, guru agama, para pelajar, malah anak yang belum lahir pun ada peruntukan yang tersedia untuk mereka,” katanya dalam catatan terbaru di laman rasmi NajibRazak.com hari ini.

    Najib yang juga Menteri Kewangan berkata Bajet 2018 telah diberi gelaran pelbagai nama antaranya ibu segala bajet, bapa segala bajet dan bajet pilihan raya.


    Perdana menteri dalam pada itu berkata beberapa siri temu bual pasca bajet akan disiarkan di laman media sosial beliau bersama beberapa personaliti yang arif berkenaan topik-topik Bajet 2018 yang menyentuh keperluan ramai rakyat Malaysia bagi menerangkan dengan lebih terperinci inisiatif dan peruntukan bajet itu.

    “Saya percaya melalui siri temu bual ini juga, semua akan dapat maklumat yang lebih tepat dan terperinci mengenai rasional di sebalik setiap pengumuman, selain juga manfaat yang dibawa melalui pengumuman-pengumuman tersebut,” katanya.

    Bajet 2018 memperuntukkan sejumlah RM280.25 bilion, yang menyaksikan pertambahan peruntukan berbanding RM260.8 bilion yang diperuntukkan dalam Bajet 2017.

    Daripada jumlah tersebut, RM234.25 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus, dan RM 46 bilion lagi bagi perbelanjaan pembangunan. – Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Bajet 2018 Inklusif Dan Menyeluruh "