• Baitulmaqdis: Russia Mahu Undang-Undang Antarabangsa Dipatuhi

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Saturday, 9 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR : Penyelesaian adil dan berpanjangan isu Baitulmaqdis perlu berdasarkan perundangan antarabangsa, bukannya dengan perisytiharan kota itu sebagai ibu negara Israel.

    Kementerian Luar Russia menerusi kedutaan negara itu di sini dalam kenyataan akhbar hari ini berkata perundangan antarabangsa itu termasuk resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Perhimpunan Agung PBB yang menyediakan penyelesaian semua aspek termasuk status terakhir wilayah Palestin dan isu rumit Jerusalem

    Katanya, tindakan Presiden Donald Trump mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel memberi kesan lebih buruk kepada usaha damai antara dua pihak.

    "Russia amat gusar dengan keputusan Washington," katanya.

    Russia, katanya, berharap isu Baitulmaqdis itu diselesaikan menerusi rundingan terus antara Israel dan Palestin.

    "Dalam konteks ini, kami menyeru semua pihak, melaksanakan kawalan kendiri dan mengelak daripada tindakan yang boleh menyebabkan akibat buruk hingga sukar dikawal.

    "Perhatian khusus harus diberikan untuk memastikan semua penganut memperoleh akses masuk ke tempat suci mereka di Kota Lama Jerusalem," katanya.

    Kenyataan itu berkata, prinsip Russia mengenai isu itu tidak berubah, iaitu mempromosikan penyelesaian Palestin-Israel yang mana akan membawa keamanan kepada Israel di dalam sempadan yang diiktiraf antarabangsa selain memastikan kewujudan negara Palestin secara bebas.

    Kenyataan itu menyebut pada 6 April lalu, Russia mengumumkan ia mencadangkan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota negara Palestin kelak dan Baitulmaqdis Barat sebagai ibu negara Israel.

    Katanya, sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan PBB dan anggota aktif dalam Kuartet Asia Barat, Russia akan terus membantu Palestin dan Israel dalam usaha mereka mencapai perjanjian damai.

    Pada 6 Disember, lalu Trump mencetuskan kemarahan dunia Islam apabila mengeluarkan perisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan mengarahkan Jabatan Negara memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke kota suci itu. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Baitulmaqdis: Russia Mahu Undang-Undang Antarabangsa Dipatuhi "