• Baitulmaqdis : OIC Mahu Tindakan Segera Majlis Keselamatan PBB - Najib

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Thursday, 14 December 2017
    A- A+



    ISTANBUL: Negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya melaksanakan tanggungjawabnya pada kadar segera dengan menggerakkan resolusi berkaitan kepentingan Baitulmaqdis, kata Datuk Seri Najib Razak.

    Perdana Menteri berkata pada sidang kemuncak luar biasa di sini pada Rabu, negara OIC menyatakan kesediaan untuk membawa isu bantahan terhadap pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel oleh Amerika Syarikat itu ke PBB jika Majlis Keselamatan gagal bertindak.

    Katanya negara OIC mengesahkan bahawa isu Palestin dan Baitulmaqdis merupakan agenda penting umat Islam dan memberi sokongan berterusan kepada rakyat Palestin dalam usaha menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan persempadanan sebelum 1967 serta Baitulmaqdis sebagai ibu negara.

    "(Negara OIC) menolak dengan sekeras-kerasnya pengumuman pentadbiran Amerika Syarikat secara unilateral yang mengiktiraf Al-Quds Al-Sharif sebagai ibu negara Israel yang tidak sah dari segi undang-undang dan sejarah.

    "Keamanan yang akan dicapai oleh penduduk Palestin hanya akan berlaku bila tamatnya penaklukan Israel ke atas wilayah Palestin. (OIC) juga mengiktiraf Jerusalem Timur sebagai ibu negara Palestin dan menyeru negara-negara lain untuk mengiktiraf Palestin," katanya kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri sidang kemuncak sehari itu.

    Perdana Menteri berkata penganjuran sidang kemuncak itu tepat pada masanya untuk umat Islam menyuarakan pandangan mengenai perkara tersebut.

    "Sidang kemuncak ini telah mendapat sambutan yang sangat baik dengan kehadiran ramai pemimpin negara-negara Islam. Walaupun tempoh masa yang agak singkat, kehadiran yang baik membuktikan sokongan padu yang ditunjukkan oleh pemimpin negara-negara Islam terhadap perjuangan rakyat Palestin dalam memperjuangkan hak-hak mereka bagi mendapatkan sebuah negara Palestin yang berdaulat, perlu diberikan pujian," katanya.

    Najib berkata pada sidang kemuncak tergempar itu, beliau telah menyampaikan kenyataan bagi mewakili suara rakyat Malaysia dengan antaranya mengutuk dan menolak sekeras-kerasnya keputusan unilateral oleh Amerika Syarikat mengiktiraf Al-Quds Al-Sharif (Baitulmaqdis) sebagai ibu negara Israel.

    "Status akhir Al-Quds Al-Sharif patut ditentukan melalui rundingan dua hala di antara Palestin-Israel melalui kerangka penyelesaian dua negara. Keputusan Amerika Syarikat merupakan satu provokasi dan akan menyebabkan kesan keselamatan yang serius ke atas rantau tersebut," katanya.

    Katanya dalam hal itu beliau menyeru supaya umat Islam bersatu bagi menolak cubaan mana-mana negara mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan turut menegaskan perlunya umat Islam bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk memastikan status Baitulmaqdis hanya melalui rundingan di bawah rangka penyelesaian dua negara.

    "Saya turut menggesa umat Islam di seluruh dunia bersatu untuk menolak sebarang usaha mengiktiraf Al-Quds Al-Sharif sebagai ibu negara dan melupakan perbezaan pendapat. Saya menegaskan bahawa Al-Quds Al-Sharif bukan sahaja tempat suci bagi penganut agama Islam tetapi juga merupakan kota suci untuk pelbagai kepercayaan.

    "Tempat ini perlu dipelihara supaya penganut agama-agama tersebut boleh mengamalkan ajaran masing-masing dengan aman. Kebuntuan konflik Timur Tengah boleh diselesaikan secara pragmatik berdasarkan undang-undang antarabangsa," katanya.

    Perdana Menteri turut berharap Amerika Syarikat boleh membantu ke arah proses damai melalui dua cara iaitu menarik balik keputusan mengiktiraf Jerusalem itu dan bersama-sama bertanggungjawab dalam membantu memulihara keamanan secara melibatkan kedua-dua negara selaras dengan penyelesaian dua negara.

    Najib berkata sewaktu Mesyuarat Menteri-menteri Luar OIC yang diadakan sebelum sidang kemuncak tergempar tersebut, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman telah menegaskan bahawa keputusan pentadbiran Amerika Syarikat memberikan kesan terhadap proses damai di Timur Tengah dan mewujudkan provokasi serta kemarahan umat Islam di seluruh dunia dan masyarakat antarabangsa.

    "Saya dah suarakan isi hati rakyat Malaysia dan pendirian Malaysia jelas lagi tegas. Harapan Malaysia agar isu ini ditangani dengan kesatuan dan penyatuan umat Islam untuk bertindak secara bersepadu. Kedua ambil langkah bijak... dalam hal ini kita takkan kompromi Baitulmaqdis sebagai tempat suci," katanya.

    Mengenai hubungan dengan Amerika Syarikat, Najib berkata Malaysia berpendirian untuk membezakan perkara yang menguntungkan dengan perkara yang tidak selaras dengan pendirian Malaysia.

    "Kita tidak boleh bertindak dalam hubungan pelabur-pelabur Amerika yang nak membuat pelaburan di Malaysia dengan keputusan pentadbiran Presiden Donald Trump. Tapi dalam hal Baitulmaqdis, kita menolak apa yang dilakukan oleh pentadbiran Amerika Syarikat," katanya.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Baitulmaqdis : OIC Mahu Tindakan Segera Majlis Keselamatan PBB - Najib "