• Ayam Belanda Panggang Air Tangan Anak Melanau

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Monday, 25 December 2017
    A- A+


    KUCHING – Sejak tiga tahun lalu, anak Melanau kelahiran Sarikei ini antara individu paling sibuk apabila tibanya sambutan Hari Natal.

    Biarpun beliau sendiri tidak menyambut perayaan itu, kepakaran Hamlee Sabuti, 47, menyediakan hidangan wajib sambutan Krismas iaitu ayam belanda panggang menjadikannya pilihan ramai pelanggan yang beragama Kristian.

    Berkongsi pengalaman dengan Bernama, pemilik Haza Cafe itu berkata pada sambutan tahun ini beliau menerima tempahan lima ekor ayam belanda panggang untuk diambil pelanggan bermula semalam hingga Jumaat ini.

    “Jika ditanya keistimewaan ayam belanda panggang yang dihasilkan ini, saya menggunakan 100 peratus rempah-ratus yang diimport dari Eropah untuk mengekalkan cara penyediaan ala Barat. “Ayam belanda ini mula diperap semalaman sebelum proses memanggang pada suhu rendah selama dua jam yang dilakukan pagi ini,” katanya ketika ditemui di kafe yang terletak di Jalan Rubber, di sini hari ini.

    Hamlee yang pernah berkhidmat sebagai cef selama 25 tahun di sebuah hotel lima bintang di bandar raya ini, berkata selain ayam belanda panggang, ‘beef wellington’, ‘roasted lamb leg’, ‘chicken dancing’ serta aneka pilihan pai turut mendapat tempat di hati pelanggannya.

    “Ayam belanda panggang dijual mengikut berat pada harga RM380 hingga RM600,’ beef wellington’ RM380-RM500 manakala ‘roasted lamb leg’ dijual pada harga RM390.

    “Saya turut menggunakan resipi ayam panggang belanda untuk menghasilkan ‘chicken dancing’ yang dijual pada harga bermula RM150 untuk dua ekor,” katanya menambah setiap hidangan disertakan dengan sos yang dibuat sendiri mengikut kesesuaian hidangan.

    Bakat Hamlee dalam menyediakan masakan barat dilengkapi isterinya Zaleha Abdullah, 57 yang menghasilkan pastri.

    “Kami menyediakan tiga pilihan pai iaitu pai ayam (RM39), pai daging (RM40) dan pai campuran (RM41). Ketiga-tiga pilihan pai ini sentiasa mendapat tempahan daripada pelanggan setiap kali sambutan Hari Natal,” kata Zaleha yang pernah berkhidmat sebagai cef pastri di sebuah hotel lima bintang di Kuching.

    Mengendalikan kafe tersebut bersama isteri serta ahli keluarga lain sejak tiga tahun lalu, bagi Hamlee dia amat berpuas hati kerana berpeluang menyediakan hidangan Krismas memandangkan tidak ramai yang pakar dalam masakan itu khususnya ayam belanda panggang.

    “Semua hidangan yang dihasilkan adalah berdasarkan pengalaman kami suami isteri sebagai cef sebelum ini. Sambutan diterima sangat baik, kami ada pelanggan tetap, ada dicadangakn oleh kenalan mereka,” katanya mengakhiri perbualan. -BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Ayam Belanda Panggang Air Tangan Anak Melanau "