• Asisten Komisioner Polis Direman

    Published: Friday, 8 December 2017
    A- A+


    PEGAWAI polis berpangkat Asisten Komisioner direman lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Ipoh hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah.

    Bekas Ketua Polis Daerah (KPD) yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu dibawa ke mahkamah kira-kira jam 10.45 pagi oleh pegawai SPRM dengan berpakaian lokap SPRM dan bergari.

    Turut dilihat ditahan bersama pegawai berkenaan dua wanita dipercayai ahli keluarganya.

    Penolong Pendaftar Puteri Nordina Kamalaudin membenarkan ketiga-tiga individu terbabit direman selama lima hari.

    Pegawai polis terbabit yang baru bertukar jawatan sebagai KPD pada 10 November lalu ke IPK Perak kemudian dilihat dibawa keluar dari mahkamah bersama dua wanita terbabit pada 11.45 pagi.

    Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

    Harian Metro pada 29 Ogos lalu melaporkan pegawai polis berkenaan bersama isterinya disiasat berhubung dakwaan salah guna kuasa serta melakukan pelbagai jenayah termasuk mengambil rasuah daripada sindiket perjudian serta memiliki pusat pelacuran.

    Pegawai terbabit disiasat susulan dakwaan yang ditulis seorang individu melalui surat terbuka kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika itu di laman sosial Facebook (FB) yang kemudian menjadi tular.

    Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan dalam satu kenyataan berhubung kes terbabit mengesahkan menerima satu laporan polis mengenai perkara itu.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Asisten Komisioner Polis Direman "