• Artis Tak Wajar Hasut Peminat Isu Politik Sempit

    Published: Monday, 4 December 2017
    A- A+


    GOLONGAN penggiat seni tempatan dinasihatkan supaya tidak terjebak dalam kancah politik tanah air yang tidak sihat, kata Pegawai Tugas Khas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor.

    Beliau melontarkan nasihat tersebut sebagai mengulas tindakan segelintir artis baru yang menggunakan pengaruh diri mereka dalam kalangan peminat bagi menyebarkan kenyataan palsu pihak parti pembangkang.

    Katanya, golongan selebriti ini seharusnya mendapatkan fakta yang betul dan bukannya terus memuat naik kenyataan popular berbaur politik pihak antikerajaan tanpa mengetahui kesahihan dakwaan berkenaan.

    Walaupun ada antara penggiat seni yang kurang dapat tempat dalam industri, perkara tidak sihat itu tidak seharusnya menjadi penyebab kepada golongan tersebut cuba mendapatkan populariti dan perhatian peminat.



    “Teguran ini juga diberikan kepada seorang artis tempatan yang diketahui telah jatuh merudum popularitinya dek kerana perangai sendiri yang tidak berdisiplin.

    “Kini, artis tersebut sering pula memuat naik status menerusi media sosial dengan kenyataan berbaur politik yang dia sendiri tidak tahu apa yang ditulisnya itu.

    “Dapatkan fakta betul terlebih dulu dan pastikan diri berada dalam keadaan waras,” kata Rizal ketika berucap merasmikan Dewan Perniagaan Artis dan Selebriti Malaysia (DPA) di Royale Chulan Damansara, Selangor hari ini.

    Beliau seterusnya mencadangkan mereka sewajarnya menggunakan pengaruh yang ada untuk bergiat secara positif menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan mendaftar menjadi ahli DPA.

    “Bekerjalah sedaya upaya dalam dunia seni tempatan yang cukup luas bidangnya. Jika tidak, cuba pula bidang lain atau setidak-tidaknya guna pengaruh untuk mula kembangkan bisnes,” kata Rizal.

    Jelasnya lagi, DPA ditubuhkan atas inisiatif presidennya, Datuk Shahrul Nizam Yunos bagi bantu nasib golongan penggiat seni yang ingin jadi usahawan namun ada masalah dari segi kewangan dan faktor kurang pengalaman.

    Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Samat Kasah serta Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Surayati Ibrahim.

    Setakat ini, sembilan artis sudah berdaftar dengan DPA.

    Mereka ialah Akim, Bront Palarae, Diana Danielle, Farid Kamil, Hafiz Suip, Hazama, Stacy, Soffi Jikan dan Wan Hanafi Su. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Artis Tak Wajar Hasut Peminat Isu Politik Sempit "