• Arab Saudi, Sekutu Terus Pinggir Qatar

    Published: Wednesday, 6 December 2017
    A- A+

    KUWAIT CITY: Arab Saudi dan sekutunya terus meminggirkan Qatar pada persidangan tahunan monarki Teluk semalam ketika Kuwait berikrar akan meneruskan usaha sebagai orang tengah dalam perbalahan dengan Doha.

    Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, menghadiri persidangan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Kuwait City tetapi ia tidak disertai pemimpin Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain, juga sebahagian negara diketuai Arab Saudi yang memulaukan Qatar,

    Masa depan GCC yang dianggotai enam negara, dibentuk 36 tahun lalu untuk menyatukan negeri Teluk Arab berfahaman Sunnah, kini kelihatan di awang-awangan.

    Pertemuan tahun ini dibuat enam bulan selepas perbalahan antara Qatar dan blok diketuai Arab Saudi, krisis terburuk pernah melanda pertubuhan itu.


    Emir Qatar menerima jemputan, tetapi beberapa jam sebelum rundingan bermula, Raja Salman dari Arab Saudi menghantar Menteri Luar, Adel al-Jubeir, sebagai wakil.

    Televisyen menunjukkan Emir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah, menyambut kedatangan Jubeir di lapangan terbang sebagai ketua delegasi Arab Saudi.

    Sheikh Sabah, berkata Kuwait akan meneruskan usaha walaupun setakat ini cubaan menjadi orang tengah menyelesaikan krisis itu tidak berjaya.

    "Kami berhadapan kesakitan dan perkembangan negatif sejak enam bulan lalu tetapi masih boleh bertenang.

    "Pertemuan hari ini menjadi sebab meneruskan usaha sebagai orang tengah yang memenuhi cita-cita rakyat," kata Sheikh Sabah dalam ucapan pembukaan persidangan itu. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Arab Saudi, Sekutu Terus Pinggir Qatar "