• Arab Saudi Pintas Peluru Berpandu Sasarkan Riyadh Oleh Pemberontak Houthi

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 20 December 2017
    A- A+



    SANAA: Tentera pakatan diketuai Arab Saudi yang menentang pemberontak Houthi di Yaman mendakwa berjaya memintas peluru berpandu yang disasarkan ke Riyadh.

    Peluru berpandu tersebut dipercayai disasarkan ke Istana Yamama milik keluarga diraja di ibu negara berkenaan.

    Istana itu menjadi lokasi pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al Saud mempengerusikan mesyuarat kerajaan dan menerima kunjungan rasmi ketua negara dari seluruh dunia.

    Ini adalah kali kedua dalam tempoh beberapa bulan, pemberontak Houthi melancarkan peluru berpandu yang berjaya memasuki ruang udara Riyadh.

    Stesen televisyen milik pemberontak Houthi mendakwa peluru berpandu berkenaan merupakan satu serangan dan rejim Arab Saudi yang bekerjasama dengan Israel serta Amerika Syarikat kini berada dalam lingkungan serangan mereka.

    "Selepas peperangan yang berlanjutan selama 1,000 hari, peluru berpandu kami (pemberontak Houthi) kini mampu sampai ke kubu kuat Riyadh, termasuk istana pemerintah, yang menjadi simbol pemerintahan mereka," kata ketua pemberontak Abdul Malik al-Houthi dalam satu siaran televisyen.

    Awal bulan ini, pemberontak Houthi mendakwa melancarkan serangan peluru berpandu ke sebuah loji nuklear yang masih dalam pembinaan di Emiriah Arab Bersatu, UAE.

    UAE bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan.

    Perang menentang pemberontak Houthi yang diketuai Arab Saudi sudah berlanjutan sejak Mac 2015.

    Pemberontak juga membunuh bekas Presiden Ali Abdullah Saleh, selepas beliau memeterai perjanjian dengan pakatan Arab Saudi.

    Perang di Yaman sudah mengorbankan lebih 10,000 penduduk awam dan menyebabkan jutaan penduduknya kini di ambang krisis kemanusiaan.- Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Arab Saudi Pintas Peluru Berpandu Sasarkan Riyadh Oleh Pemberontak Houthi "