• Arab Saudi mahu hak Palestin dikembalikan

    Published: Friday, 15 December 2017
    A- A+
    RIYADH 14 Dis. - Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud mengutuk keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

    Raja Salman se­perti dilaporkan Al-Jazeera menegaskan, Riyadh tetap dengan komitmen iaitu Pa­lestin mempunyai hak menjadikan Baitulmuqaddis Timur yang dijajah Israel sebagai ibu negara mereka.

    Tegas baginda, tindakan Trump itu menunjukkan keputusan ‘berat sebelah luar biasa’ terhadap hak Pa­lestin di Baitulmuqaddis yang dijamin resolusi antarabangsa.

    “Arab Saudi mencadangkan penyelesaian politik bagi menyelesaikan krisis di rantau itu dengan meng­utamakan pengembalian hak asasi Palestin termasuk hak menu­buhkan negara merdeka dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.

    “Saya dengan ini mengulangi pendirian kerajaan mengecam dan amat kesal dengan keputusan Amerika ke atas Baitulmuqaddis kerana perkara itu menghapuskan hak bersejarah Palestin di Baitulmuqaddis,” titahnya di sini semalam.

    Raja Salman bertitah demikian semasa Majlis Shura Saudi yang disiarkan di stesen televisyen tempatan ketika pemimpin Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC di Istanbul, Turki, semalam.

    Arab Saudi yang menempatkan Ibu pejabat OIC bagaimanapun hanya menghantar pegawai kanan Kementerian Luar.

    Dalam mesyuarat itu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan meminta masyarakat dunia mengiktiraf Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin ketika Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mene­gaskan, tidak ada perdamaian di Asia Barat sehingga langkah terbabit dilaksanakan.

    Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu nya­ta ‘tidak hairan’ dengan kata sepakat yang dibuat pemimpin Islam di Turki dan mencadangkan Palestin menerima realiti dan bertindak atas paksi perdamaian dan bukan keganasan.

    Jelasnya, OIC seharusnya mengiktiraf satu lagi fakta tentang Baitulmuqaddis iaitu bandar terbabit bukan hanya ibu negara Israel malah rejim Zionis tetap menghormati Baitulmuqaddis untuk kebebasan beribadah bagi semua agama.

    “Kami tidak hairan dengan ke­nyataan yang dibuat itu,” kata Neta­nyahu penuh bongkak.

    Beliau menambah, lebih banyak negara akan mengikut jejak Trump dan mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

    Dalam perkembangan lain, Israel melancarkan beberapa siri serangan udara ke atas kedudukan pergerakan Hamas di Gaza awal pagi ini selepas roket dilancarkan ke wilayah itu dari semenanjung tersebut.

    Dalam kenyataannya, tentera Israel berkata, mereka menyasarkan tiga kemudahan tentera Hamas di pelbagai kawasan berbeza Genting Gaza yang dikuasai Hamas sebagai tindak balas serangan roket oleh kumpulan itu.

    Menurut sumber keselamatan Palestin, lebih 10 serangan dilancarkan ke lokasi sasaran termasuk tapak tentera laut Hamas dan kem tentera dekat kem pelarian Shati.

    Pada masa sama, Israel turut mengumumkan penutupan pintu sempadan Gaza sebagai tindak balas serangan roket dari Palestin yang berlaku setiap hari. – AGENSI/AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Arab Saudi mahu hak Palestin dikembalikan "