• Apa Maksud Dilepaskan Tanpa Dibebaskan?

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 20 December 2017
    A- A+


    SHAH ALAM - “Sebarang pertuduhan yang digugurkan sewaktu perbicaraan belum bermula dan saksi belum dipanggil adalah ‘dilepaskan tanpa dibebaskan’,” kata peguam serta pakar undang-undang, Syahredzan Johan.

    Menurutnya, dilepaskan tanpa dibebaskan merupakan sesuatu kes terhadap seseorang individu yang dituduh itu digugurkan, namun pihak berkenaan tidak dibebaskan oleh mahkamah.

    “Maknanya, pendakwa raya boleh jika mahu untuk mendakwa semula tertuduh.

    “Berlainan sekiranya terdapat pembebasan (acquittal), pendakwa raya tidak boleh mendakwa semula kerana ini dihalang oleh Perkara 7(2) Perlembagaan berkenaan dengan perbicaraan berulang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

    Semalam, Mahkamah Majistret Seremban melepaskan tanpa membebaskan Azizan Manap, 44, atau Cikgu Azizan daripada pertuduhan mencederakan muridnya pada Oktober lalu.

    Mahkamah membuat keputusan tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad memaklumkan pendakwaan menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan tersebut.

    Mengulas mengenai kes Azizan, Syahredzan memaklumkan bahawa keputusan mahkamah untuk melepaskan tanpa membebaskan pihak berkenaan merupakan satu perkara biasa dari sudut perundangan negara.

    “Ini bukannya perkara luar biasa memandangkan mahkamah tidak boleh membebaskan tertuduh kalau tidak mendengar keterangan saksi dan melihat merit kes.

    “Sebab itu bila gugur pertuduhan sebelum perbicaraan bermula ia bukannya merupakan pembebasan atau acquittal,” katanya.

    Ketika ditanya sama ada Azizan berkemungkinan akan didakwa semula selepas ini, Syadredzan berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku, namun kemungkinannya adalah sangat rendah. - Sinar Harian 

    Subjects:

  • No Comment to " Apa Maksud Dilepaskan Tanpa Dibebaskan? "