• Angin Kencang Dijangka Di Beberapa Kawasan

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Monday, 18 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Angin kencang Timur Laut berkelajuan melebihi 60 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter (m), dijangka berlaku di kawasan perairan timur Condore dan laut barat Reef North, selama empat hari hingga Khamis ini.

    Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua kegiatan di pantai dan perkapalan, termasuk pekerja di pelantar minyak.

    Angin kencang dan lautan bergelora juga dijangka melanda tenggara Samui, Condore, Reef North, Layang-Layang, Palawan, Tioman, Bunguran.

    MetMalaysia juga meningkatkan amaran kategori kedua di perairan itu, dengan kelajuan angin kencang Timur Laut 60 kmsj dan ombak mencapai ketinggian 4.5 m berterusan selama empat hari.

    Amaran kategori pertama turut dikeluarkan untuk perairan tengah Samui, Bunguran, Reef South, Wilayah Persekutuan Labuan dan Palawan.

    Selain itu, bagi kategori perairan negara ini, amaran angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 60 kmsj dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 m, dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan timur Johor selama empat hari.

    Kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan timur Johor juga dijangka terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut.

    Sementara itu, cuaca buruk dijangka berlaku di Sarawak (Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei dan Mukah) hingga Rabu ini.

    Menurut kenyataan itu, jangkaan ribut tropika Kai- ak turut berlaku di koordinat 10.8 utara dan 120.5 timur iaitu 365 kilometer (km) barat laut Cebu, Filipina.

    Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang dengan kelajuan 50 kmsj dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 m di perairan Sarawak, Sabah (pedalaman, pantai barat dan Kudat) dan Wilayah Persekutuan Labuan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Angin Kencang Dijangka Di Beberapa Kawasan "