• Anggun puji Yuna

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 15 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Selepas menjalin kerjasama dengan Nur Fazura menerusi lagu The Good Is Back, penyanyi popular Indonesia yang mencipta nama di Perancis, Anggun Cipta Sasmi berhasrat untuk berduet dengan Yuna.

    Penyanyi Snow On The Sahara itu berkata, beliau mengagumi personaliti Yuna yang masih utuh mempertahankan jati dirinya sebagai wanita Asia, sekali pun sudah mempunyai pengaruh besar di pentas antarabangsa.

    Mula mengenali Yuna menerusi media sosial sejak empat tahun lalu, Anggun, 43, melihat penyanyi Dan Sebenarnya yang sedang mencipta nama di Amerika Syarikat itu sebagai cermin dirinya yang pernah berjuang membawa bakat di negara luar.

    "Ketika awal perkenalan, kami sering berbalas mesej menerusi media sosial. Saya berpeluang bertemunya buat kali pertama ketika Yuna ke Rome, Itali. Ketika Yuna beraksi dalam konsert jelajah di Paris, saya tidak ketinggalan menonton.

    "Yuna memiliki karisma tersendiri, malah suara dan muzik yang dibawanya juga istimewa. Walaupun berhijab, Yuna berjaya menterjemahkan peribadi wanita moden yang berkuasa dan berpengaruh tetapi lembut," katanya.

    Anggun ditemui ketika bertandang di ibu kota untuk memperkenalkan album terbarunya, 8, sempena pelancaran aplikasi muzik OneMusic, baru-baru ini.

    Sedang popular dengan single terbaharu, What We Remember, beliau berkata, proses pembikinan album itu mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan.

    Mengakui agak cerewet dalam bekerja, Anggun juga tidak terkejar-kejar dalam menyiapkan album ini.

    "Saya perlu teliti, malah tidak kisah apabila proses pembikinan album ini berjalan perlahan. Setiap lagu yang ditulis mengambil masa yang panjang. Hampir 90 peratus lagu yang dimuatkan ditulis saya sendiri sebelum disaring tiga pasukan pekerja.

    "Ada lirik lagu yang saya tulis kira-kira lima tahun lalu, ada juga yang disiapkan dua tahun lalu. What We Remember bagi saya cukup istimewa kerana ia menterjemahkan pengalaman yang saya rasai dan lalui selama ini," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Anggun puji Yuna "