• Anggota bomba maut padam kebakaran hutan

    Published: Friday, 15 December 2017
    A- A+

    LOS ANGELES: Seorang anggota bomba terbunuh dalam operasi memadam kebakaran hutan di California.

    Pasukan bomba kini bertungkus lumus memadamkan kebakaran besar hutan di negeri itu bagi melindungi beberapa bandar pesisir pantai yang berada dalam laluan kebakaran.

    Setakat ini lebih 700 rumah dilaporkan musnah akibat kebakaran itu, keempat terburuk sejak 1932.

    Mayat Cory Iverson, 32, dibalut dengan bendera dan dibawa keluar dari zon kebakaran di daerah Ventura, barat laut Los Angeles sambil diperhatikan rakan-rakan seperjuangan.

    "Saya dan Anne sedih dengan kematian tragik Jurutera Cory Iverson. Keberanian dan komitmen beliau selama bertahun-tahun untuk penduduk California tidak akan dilupakan," kata Gabenor California, Jerry Brown dalam kenyataannya.

    Akhbar Los Angeles Daily News melaporkan jurutera Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California itu, Iverson maut dalam satu kemalangan berhampiran kawasan kejiranan Fillmore.

    Kebakaran hutan yang bermula sejak 4 Disember lalu berhampiran sebuah kolej persendirian di Ojai, setakat ini sudah memusnahkan kawasan seluas 100,766 hektar.

    - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Anggota bomba maut padam kebakaran hutan "