• ANAK Buat Laporan Polis

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+

    JOHOR BAHRU: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) hari ini membuat laporan polis susulan isu hak milik tanah FELDA di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, semalam.

    Selain itu, persatuan menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya.

    Presidennya, Mazlan Aliman, berkata timbul persoalan apabila pihaknya dimaklumkan syarikat yang membangunkan tanah itu tiada kaitan langsung dengan FELDA.

    "Apabila pembangunan ini dilakukan dan berlaku pemberian surat kuasa wakil penuh (PA) syarikat ini, yang dahulunya saya bimbang, apabila PA diberi, ini membawa maksud tanah itu mungkin akan digadaikan bagi memastikan aliran tunai diperoleh untuk bangunkan kawasan berkenaan.

    "Ini sangat mengundang risiko kerana boleh menyebabkan perpindahan milik atas tanah terbabit. Saya mahu mempersoalkan pertama, adakah pembangunan atas tanah itu bermula dengan tender?

    "Bagaimana ahli lembaga FELDA ini dengan begitu mudah memberi pelepasan kepada syarikat berkenaan tanpa diperhalusi dan saya difahamkan oleh kerana FELDA menandatangani pelan integriti dengan SPRM," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas ditemui di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini hari ini.

    Katanya, selain laporan polis yang dibuat pada 12 Disember lalu, tindakan lain yang diambil adalah dengan mendaftarkan kaveat ke atas tanah itu, membatalkan PA yang dikeluarkan dan mengambil tindakan sivil terhadap pihak yang terbabit. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " ANAK Buat Laporan Polis "