• Ambil Dadah Untuk Hilang Tekanan Kerja Di Sawah

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Thursday, 28 December 2017
    A- A+

    Seorang bekas tentera dan anak saudaranya memberi alasan mengambil dadah kononnya untuk menghilangkan tekanan ketika melakukan kerja di sawah ketika ditahan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi di Bukit Kayu Hitam.

    Mereka ditahan jam 7.30 petang semalam ketika melalui sekatan pemeriksaan AADK di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

    Mereka ketika itu sedang menunggang motosikal dari arah Bukit Kayu Hitam menuju ke Changlun.

    Ketua Unit Anti Dadah Sempadan AADK Bukit Kayu Hitam, Megat Rodzep Megat Teh berkata, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua mereka berusia 40 dan 20 tahun itu didapati positif dadah jenis methampethamine.

    "Bekas tentera itu mendakwa mengambil dadah itu bersama anak saudara itu sejak kelmarin dengan alasan memudahkan dia melakukan kerja di sawah.

    "Dia pada mulanya merayu supaya dilepaskan kerana bimbang perbuatannya diketahui isteri dan dua anak perempuan manakala anak saudaranya pula sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia dua tahun," katanya ditemui pada operasi itu.

    Mengulas lanjut, Megat Rodzep berkata, kedua-dua lelaki itu antara 45 individu yang ditahan dalam operasi yang diadakan sejak kelmarin dalam Operasi Cegah Sempadan Siri 4/2017 di kompleks itu.

    "Jumlah yang ditahan untuk pemeriksaan dalam operasi selama dua hari ini seramai 247 orang, namun hanya 45 daripadanya dikesan positif dadah termasuk seorang wanita dan 44 lelaki yang berusia 19 hingga 45 tahun.

    "Daripada jumlah itu, kebanyakan yang ditahan dikesan mengambil dadah jenis ecstasy iaitu pil goyang dan pil kuda untuk tujuan berhibur selain morfin," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Ambil Dadah Untuk Hilang Tekanan Kerja Di Sawah "