• Amaran Angin Kencang, Ribut Petir Hingga Selasa

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Friday, 15 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Aktiviti menangkap ikan, perkapalan dan feri adalah berbahaya di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur berikutan angin kencang dan ombak besar.

    Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), berkata angin kencang Timuran mengakibatkan kelajuan angin mencecah 50 hingga 60 kilometer sejam (kmsj) dan gelombang setinggi 4.5 meter.

    "Keadaan angin kencang dan laut bergelora berbahaya untuk aktiviti perkapalan, bot kecil, rekreasi dan sukan laut," kata agensi itu menerusi kenyataan.

    Menurut MetMalaysia, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama hingga Selasa depan turut dikeluarkan untuk kawasan di perairan Condore, Reef North, Layang-layang, Reef South, Labuan dan Palawan.

    "Akan berlaku juga kejadian kenaikan paras air laut yang dijangka bermula esok sehingga Selasa depan di kawasan berkenaan," katanya.

    Sementara itu, ribut petir dijangka berterusan hingga pagi ini membabitkan perairan Selat Melaka Selatan, Reef North, Labuan, Sulu dan Sulawesi.

    "Ribut petir ini membabitkan perairan Negeri Sembilan, Melaka, Johor Barat dan Pantai Barat Sabah, Kudat dan Sandakan sehingga pagi ini.

    "Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang hingga 50kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian hingga 3.5 meter yang berbahaya kepada bot kecil," katanya.

    Sementara itu, setakat jam 3.08 pagi tadi, tiada amaran hujan lebat dikeluarkan.

    MetMalaysia turut mengesan Ribut Tropika Kai-tak kira-kira 578km ke timur laut Mindanao, Filipina, dengan jarak bandar terdekat timur laut Sandakan, Sabah.

    "Ribut ini menyebabkan angin kencang dan ombak mencapai ketinggian hingga 3.5 meter di kawasan perairan Sarawak, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat & Kudat) dan Labuan," kata agensi itu. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Amaran Angin Kencang, Ribut Petir Hingga Selasa "