• Alahai, Kahwin Punya Pasal...

    Published: Tuesday, 5 December 2017
    A- A+

    Lelaki berusia 23 tahun bukan saja tergamak mencederakan diri sendiri, malah sanggup membuat laporan polis palsu konon dia disamun dua lelaki bersenjatakan pisau di Kampung Tuah, Jalan Bukit Beruntung-Rasa, Hulu Selangor semata-mata untuk mendapatkan wang daripada ibu bapanya bagi melangsungkan perkahwinan.

    Lelaki itu membuat laporan polis pada jam 11.09 malam, Ahad lalu. Bagaimanapun, temberangnya itu gagal mengaburi pihak berkuasa.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bhak Pai berkata, hasil siasatan lanjut, lelaki itu didapati membuat laporan palsu dan kes disiasat mengikut Seksyen 182, Kanun Keseksaan.

    “Pada mulanya, lelaki berkenaan membuat laporan polis mendakwa dia disamun dua lelaki bersenjatakan pisau.

    “Lelaki itu mendakwa wang tunai RM5,040 serta dokumen miliknya dilarikan selain turut mengalami kecederaan ringan pada jari.

    “Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut mendapati lelaki itu sengaja membuat laporan palsu bertujuan mendapatkan wang daripada ibu bapanya bagi melangsungkan perkahwinan. Dia turut mencucuk jarinya pada pagar dawai konon dicederakan,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Alahai, Kahwin Punya Pasal... "