• Akademi SuperKIP Racing Sertai Cub Prix

    Published: Wednesday, 20 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Usia muda dan sibuk dengan jadual padat dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) tidak menghalang pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi untuk mencurah ilmu dengan melatih pelumba muda menerusi penubuhan akademi perlumbaannya sendiri, Akademi SuperKIP Racing.

    Selain latihan, akademi yang berpusat di Kampung Gajah, Perak itu turut melangkah jauh apabila membuat keputusan untuk beraksi di pentas perlumbaan profesional negara, Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dalam kategori CP115 dan Wira, bermula musim depan.

    Antara barisan awal pelumba muda yang akan membawa cabaran Akademi SuperKIP ialah adiknya, Anuar Ibrahim, pelumba Cabaran Honda Wave Alpha seperti Md Afizat Supaat, Md Amer Rossi Amidi serta gandingan adik beradik, Md Hazim dan Md Haziq Rosmaza.

    "Pemilihan pelumba sudah dilakukan sejak pertengahan musim Kejuaraan Cub Prix 2017 dengan kami melihat dan menilai pelumba berpotensi dalam perlumbaan satu pengeluar Honda.

    "Selepas menyenaraikan beberapa pelumba, kami menjemput mereka menjalani sesi latihan bersama saya sebaik Kejuaraan Cub Prix berakhir di Johor, November lalu.

    "Kami melakukan pendekatan berbeza dengan pelumba ini bukan sahaja menjalani latihan secara intensif, malah turut disediakan tempat tinggal. Selain berlatih di litar, mereka turut menjalani latihan seperti kecergasan, berbasikal dan aktiviti lain yang ditetapkan," kata pelumba berusia 19 tahun itu.

    Mengulas mengenai sasaran terhadap kesemua pelumba, Khairul berkata: "Ini tahun pertama kami bersaing di Cub Prix manakala pelumba juga beraksi buat julung kali dalam kelas lebih tinggi. Jadi, kami tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi, cukup jika dapat menempatkan diri dalam kelompok lima pelumba terbaik. Satu pencapaian membanggakan jika mereka dapat menaiki podium.

    "Saingan sangat sukar tambahan pula terpaksa berdepan pasukan dan pelumba lebih berpengalaman termasuk bekas pasukan saya, Idemitsu Kozi Yam Honda Racing. Saingan pastinya hebat dan saya harap pelumba dapat menimba pengalaman berguna pada tahun ini."

    "Pasukan ini akan dijaga ayah saya memandangkan saya banyak berada di Eropah tahun depan. Namun begitu saya akan sentiasa menyaksikan mereka berlumba secara langsung di media sosial seandainya tidak terbabit dengan perlumbaan selain sentiasa mendapatkan perkembangan terkini dari pengurusan pasukan."

    Sementara itu, bapa Khairul, Pawi Omar yang akan bertindak sebagai pengurus pasukan berkata, rancangan menubuhkan akademi ini timbul selepas kejayaan Khairul memenangi perlumbaan Moto3 di Argentina dan Jerman.

    "Pada peringkat awal akademi ini diwujudkan adalah untuk memberi tunjuk ajar kepada remaja setempat yang berminat dengan perlumbaan sebelum membuat keputusan untuk pergi lebih jauh.

    "Cara bagaimana kami membentuk Khairul selama ini akan digunakan pula kepada pelumba lain. Paling penting sokongan daripada keluarga pelumba itu sendiri. Kami gembira kerana keluarga pelumba yang berada dalam akademi ini memberi sokongan sepenuhnya dan sanggup melepaskan anak mereka untuk tinggal bersama kami bagi menjalani latihan dan persediaan untuk menghadapi perlumbaan Cub Prix nanti," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Akademi SuperKIP Racing Sertai Cub Prix "