• Ahmad Lai Sedia Dicalonkan Semula Pada PRU14

    Published: Tuesday, 19 December 2017
    A- A+
    MIRI: Bagi mempertahankan kerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU) nanti, Ahli Parlimen Sibuti Datuk Ahmad Lai Bujang berkata beliau bersedia untuk dicalonkan semula.

    Memetik laporan Utusan Borneo, katanya, keputusan tersebut bagaimanapun terletak di tangan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PBB Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.

    “Saya menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk kepimpinan Parti BN dan PBB untuk membuat keputusan, bahkan saya bersedia mempertahankan kerusi Parlimen Sibuti,” katanya di sini, semalam.

    Ahmad Lai turut menolak khabar angin yang mengatakan bahawa beliau tidak akan bertanding semula atas faktor masalah kesihatan.

    “Saya masih turun padang melawat kawasan serta hadir pada majlis rasmi dan tidak rasmi, sekali gus membuktikan saya sihat dan mampu berkhidmat untuk rakyat,” jelasnya.

    Justeru, menurutnya, isu kesihatan bukan lagi isu besar kerana beliau sentiasa bekerja dan turun padang meninjau kawasan berjumpa rakyat.

    “Suara di peringkat akar umbi masih mahukan saya dicalonkan semula dan jika diberi peluang, saya akan memastikan kemenangan BN sekali lagi bagi kerusi ini,” katanya.

    Terdahulu, pada PRU13, Ahmad Lai menewaskan calon PAS Muhamad Zaid Tandang dengan majoriti 6,066 undi, sekali gus mempertahankan kerusi itu.

    Ahmad Lai mendapat 13,348 undi berbanding Muhamad Zaid Tandang yang hanya meraih 7,282 undi. – Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " Ahmad Lai Sedia Dicalonkan Semula Pada PRU14 "