• Agenda Trump Mahu Cetus Perang Dunia Ketiga

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengisytiharkan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel disifatkan sebagai agenda negara itu untuk memulakan Perang Dunia Ketiga.

    Pengerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan Serantau Muslim, Dr. Raja Ahmad Iskandar Raja Yacob berkata, pengumuman itu menyebabkan bibit-bibit Perang Dunia Ketiga mula kelihatan kerana kini telah wujud tiga kelompok iaitu AS dan sekutunya, negara-negara Islam yang dibayangi Turki dan blok Timur (Rusia dan China).

    “Bibit-bibit persengketaan ini sengaja dicetuskan supaya timbul kemarahan umat Islam terhadap AS, sekali gus merumitkan lagi konflik Israel dan Palestin.

    “Amerika dan sekutu akan menyekat dan menghancurkan negara-negara potensi ketenteraan seperti Turki dan Iran. Malah, Trump akan mengaut keuntungan apabila dunia terasa terancam dengan menjual senjata kepada negara-negara dunia untuk persediaan keselamatan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Beliau yang juga Pensyarah Kanan Geopolitik Universiti Teknologi Petronas berkata, umat Islam perlu sedar bahawa Trump tidak akan mengambil tindakan untuk mengumumkan mengenai ibu kota baharu negara haram Israel itu apabila beliau sudah melihat negara-negara Arab dan Islam sendiri semakin berpecah dan bertelingkah sesama mereka.

    “Namun dalam masa yang sama, Amerika berjaya sebagai penjaga kepada negara-negara Arab dari aspek kebergantungan keselamatan, perlindungan ancaman politik, ekonomi dan persenjataan.

    “Kesepakatan AS-Arab sewaktu Sidang Kemuncak Riyadh 2017 baru-baru ini membuktikan kejayaan Trump itu,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Burhanuddin Ruslan berkata, Trump diminta segera menarik balik pengisytiharan itu kerana beliau sebenarnya diperalatkan oleh kerajaan dan rejim Zionis Israel.

    “Trump sangat bacul kerana tunduk kepada kehendak Israel sedangkan keputusan beliau itu bakal menggadaikan banyak nyawa manusia termasuk rakyatnya sendiri terhadap ancaman dan serangan mereka yang marah dengan pengisytiharan tersebut,” katanya.

    Burhanuddin berkata, AS telah melakukan satu pencerobohan ke atas kedaulatan negara Palestin yang telah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan dunia berbanding negara haram Israel tersebut.

    “Tindakan Trump itu benar-benar menghina umat Islam di seluruh dunia di saat Baitulmuqaddis adalah bandar suci kepada tiga agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi yang kini dijajah oleh rejim Israel,” tegasnya.

    - Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Agenda Trump Mahu Cetus Perang Dunia Ketiga "