• Abang Sang Tumpas

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+

    KUALA TERENGGANU: Tidak sampai 10 jam menyamun dua mangsa, Khamis lalu, seorang bekas banduan yang aktif melakukan jenayah ragut dan samun di sekitar bandar raya ini, diberkas polis.

    Penahanan suspek berusia 24 tahun, dikenali sebagai Abang Sang, yang baru dibebaskan daripada penjara April lalu, turut menyelesaikan enam kes samun lain, yang dilaporkan sejak April lalu.

    Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar, berkata dalam kejadian pertama kira-kira jam 1 tengah hari Khamis lalu, suspek meragut beg seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun, yang diletakkan dalam raga motosikal.

    "Suspek mengekori mangsa yang menunggang motosikal dengan rakannya dan kemudian meragut beg pelajar itu yang diletakkan dalam raga.

    "Mangsa yang cuba mengejar suspek kemudian menemui beg miliknya yang mengandungi buku teks dibuang lelaki berkenaan di dalam longkang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, di sini, sebentar tadi.

    Beliau berkata, dalam kejadian kedua kira-kira setengah jam kemudian, suspek yang berasal dari Kampung Binjai, Simpang Empat, Chendering, meragut beg tangan seorang penuntut kolej, yang juga diletakkan dalam raga motosikal.

    "Kejadian menyebabkan mangsa kehilangan wang tunai RM50, dua telefon bimbit dan dompet," katanya.

    Idris berkata, susulan laporan dibuat mangsa dan hasil hasil maklumat awam, polis menahan suspek bersama seorang rakan berusia 17 tahun, di tepi jalan di Kuala Ibai, pada jam 10 malam, hari yang sama.

    "Ketika ditahan, polis turut merampas motosikal HONDA EX5 milik suspek, 20 sim kad, masing-masing satu telefon bimbit dan dompet serta empat kad memori telefon dipercayai milik mangsa.

    "Hasil soal siasat, Abang Sang mengakui melakukan dua jenayah itu serta enam lagi kes ragut lain di sekitar Kuala Ibai, Batu Buruk dan di kawasan bandar ini sejak April lalu, selepas dibebaskan daripada hukuman penjara kerana kesalahan dadah dan samun," katanya.

    Idris berkata, ujian air kencing juga mendapati kedua-dua lelaki itu positif dadah jenis Methamphetamine, malah suspek berusia 17 tahun turut memiliki rekod lampau membabitkan jenayah curi.

    Beliau berkata, kedua-dua suspek kini direman lima hari sehingga Selasa ini bagi membolehkan siasatan kes mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Abang Sang Tumpas "