• Abang Messi Dikenakan Tahanan Rumah

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 12 December 2017
    A- A+

    BUENOS AIRES: Matias Messi, abang kepada bintang Barcelona dan Argentina, Lionel Messi kini ditahan di rumah oleh pasukan keselamatan Argentina susulan dituduh memiliki senjata api tanpa lesen, semalam.

    Matias Messi, 35, dikeluarkan dari hospital dan dipindahkan ke rumahnya di Rosario, 300 kilometer di utara Buenos Aires, kata ketua pejabat pendakwa raya jenayah siber dan senjata, Lucas Altare.

    Dia dibawa ke hospital susulan kecederaan di muka selepas ditemui hanyut berlumuran darah dalam sebuah bot bersama senjata api pada 30 November lalu.

    Pejabat pendakwa terpaksa menahan Matias di rumah susulan kecederaan berkenaan sementara menunggu kes berkenaan dibicarakan atas tuduhan membawa senjata api tanpa lesen.

    Ia adalah kali kedua abang pemain bintang itu ditahan kerana memiliki senjata api. Kesalahan itu membawa kepada hukuman penjara antara tiga tahun hingga lapan tahun jika sabit kesalahan.

    “Penjamin ketika penahanan di rumah itu adalah bapanya sendiri Jorge Messi,” kata Altare.

    Peguam keluarga, Ignacio Carbone memberitahu wartawan bahawa defendan ‘seorang yang baik, dia tidak akan lari.’-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Abang Messi Dikenakan Tahanan Rumah "