• 417,684 saman dikeluarkan oleh JPJ melalui sistem AWAS

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 20 December 2017
    A- A+


    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) telah mengeluarkan saman sebanyak 417,684 kepada pengguna jalan raya. Sistem AWAS itu telah dilaksanakan di 21 lokasi di seluruh negara.

    Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman menjelaskan terdapat dua kesalahan yang telah dikeluarkan melibatkan melebihi had laju sebanyak 385,474 saman dan melanggar arahan lampu isyarat mencatatkan 32,210 saman.

    Malah, terdapat 11 lagi sistem AWAS telah dipasang di seluruh negara dan dijangka beroperasi Januari tahun depan.

    “Sebanyak 11 lagi sistem Awas yang dipasang di seluruh negara dijangka beroperasi sepanjang 24 jam pada Januari depan bagi memupuk kesedaran pemandu supaya mematuhi semua peraturan yang ditetapkan,” katanya.

    Menurutnya, sistem AWAS dalam persediaan melibatkan dua kamera AWAS yang memantau had laju di Selangor, lima kamera AWAS diletakkan di lampu isyarat di Perak manakala empat lagi di Kedah.

    Beliau berkata, pihaknya telah berjaya mengeluarkan sebanyak 15,306 notis kesalahan daripada 30,236 kenderaan yang diperiksa.

    Malah, beliau menambah penunggang motosikal adalah memiliki saman paling tinggi iaitu 43 peratus dengan 8,944 saman berbanding saman pemandu kereta 5,078, 6,310 saman terhadap pemandu lori dan 271 saman terhadap pemandu bas.

    “Ops Patuh 2 ini akan diteruskan sehingga 31 Dis sebelum kami melancarkan Ops Sisih bagi memastikan semua pemandu bas ekspres bebas daripada kesalahan lalu lintas menjelang Tahun Baharu Cina pada awal tahun depan,” katanya.

    Sistem AWAS ini telah mula dilaksanakan pada April lalu dan dikuatkuasa di seluruh negara. Pelaksanaan AWAS ini juga menunjukkan kerajaan komited untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. –utaranews

    Subjects:

  • No Comment to " 417,684 saman dikeluarkan oleh JPJ melalui sistem AWAS "