• 4 Produk Ini Beracun

    Published: Thursday, 21 December 2017
    A- A+

    Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan mengesan empat produk kosmetik tempatan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri, hydroquinone dan tretinoin.

    Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat produk berkenaan ialah termasuk Nuriz Shoppe -Uv Pearl Cream, Nuriz- D'solve, Aura Gorgeous Night Cream dan NV Anti Blemish Toner 1.

    Menurutnya, notifikasi produk kosmetik itu sudah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi berikutan pengesanan bahan racun berjadual di dalam produk berkenaan.

    "Orang ramai dinasihatkan tidak membeli dan menggunakan produk itu malah perlu segera menghentikan penggunaannya serta mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan sampingan.

    "Ini kerana produk mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, penjual dan pengedar produk kosmetik itu diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedarannya serta merta kerana ia tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

    "Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

    "Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," katanya.

    Beliau berkata, pengguna dan orang ramai dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA http://npra.moh.gov.my.

    "Sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik boleh diemel kepada kosmetik@npra.gov.my atau menghubungi talian 03-78835400," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 4 Produk Ini Beracun "