• 3 Hari Penduduk Ulu Bunau Terputus Hubungan

    Published: Friday, 8 December 2017
    A- A+

    SIBU: Penduduk Ulu Bunau di kawasan Selangau dekat sini memohon bantuan segera pihak  berwajib bagi mengalihkan timbunan tanah yang runtuh sejak tiga hari lalu.

    Memetik laporan Utusan Borneo, penduduk kawasan terbabit yang hanya dihubungkan dengan Jalan Bunau-Bekikik, Oya terputus hubungan dari dunia luar sejak kejadian tanah runtuh tiga hari lalu ekoran hujan berterusan tanpa henti.

    Jalan sepanjang 6.5 kilometer merupakan jalan perhubungan yang digunakan penduduk dari enam buah rumah panjang iaitu Rumah Ali, Rumah Enjah, Rumah Badi, Rumah Gading, Rumah Nalau dan Rumah Mathew.

    Jalan berkenaan adalah jalan balak yang dihubungkan melalui dua batang jalan iaitu Jalan Seri Aman dan Jalan Michael.

    Menurut salah seorang penduduk di kawasan terbabit, ratusan penduduk di Ulu Bunau tidak dapat keluar dari rumah panjang untuk melakukan rutin harian mereka kerana satu-satunya jalan perhubungan yang menghubungkan mereka dengan dunia luar terputus.

    “Keadaan ini sungguh menyulitkan. Apabila penduduk memerlukan makanan, minuman serta keperluan lain, kami tidak dapat keluar kerana jalan sudah ditimbus oleh tanah runtuh.

    “Kami tiada alternatif lain untuk keluar dan ini adalah satu-satunya jalan menghubungkan rumah panjang kami dengan dunia luar,” katanya.

    Jesteru, penduduk juga turut merayu agar bantuan segera diberikan dan memohon agar wakil rakyat kawasan terbabit boleh memperbaiki jalan tersebut sekurang-kurangnya dengan menabur batu di atas jalan kerana keadaan permukaan jalan yang berbukit bukau bertanah merah amat membahayakan pengguna selain tidak dapat dilalui terutamanya pada musim hujan.-Sarawakiana
  • No Comment to " 3 Hari Penduduk Ulu Bunau Terputus Hubungan "