• 2017 Tahun Mencabar Industri Minyak, Gas

    Published: Sunday, 24 December 2017
    A- A+


    LABUAN – Tahun 2017 diwarnai dengan pelbagai cabaran bagi Labuan, yang merupakan hab minyak dan gas (O&G) Malaysia apabila industri yang menjadi enjin pertumbuhan utama pulau bebas cukai ini terus mengalami kelembapan.

    Walaupun beberapa syarikat O&G menutup perniagaan atau mengecilkan operasi masing-masing sejak tahun lepas, rakyat di sini terus mampu berdikari.
    Dalam menghadapi semua cabaran itu, rakyat dan komuniti peniaga di pulau ini terus bersikap positif dan sentiasa mengingatkan diri masing-masing bahawa “kegelapan malam selalunya diikuti dengan siang yang cerah”.

    Mereka terus tabah menghadapi segala cabaran kerana menyedari bahawa sebagai hab O&G, bukan Labuan sahaja yang menghadapi masalah itu, malah negara pengeluar minyak lain di seluruh dunia juga terjejas teruk oleh kemelesetan yang melanda industri itu.

    Keadaan itu, bagaimanapun tidak menjejaskan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tentang kajian kemungkinan bagi pembinaan sebuah jambatan untuk menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah, yang diyakini akan menjadi pengubah rentak pertumbuhan ekonomi bagi pulau ini setelah siap dilaksanakan kelak.

    Kajian kemungkinan itu yang melibatkan kos RM14.31 juta seperti diumumkan perdana menteri ketika membentangkan Bajet 2018, akan dilaksanakan tahun depan.

    Pembinaan jambatan yang dibahaskan dengan panjang lebar itu diharapkan menjadi kenyataan bagi mengubah landskap ekonomi pulau ini.

    Memandangkan tiga kajian kemungkinan yang selesai dijalankan pada 2010 oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu tidak melibatkan penilaian dari segi kewangan dan ekonomi, maka kajian yang mendapat kelulusan terbaru itu akan memberi tumpuan terhadap perkara berkenaan untuk peringkat pelaksanaan seterusnya.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan baru-baru ini dipetik sebagai berkata, pembinaan jambatan itu termasuk dalam senarai keutamaan kerajaan Sabah dan persekutuan.

    Kata beliau, walaupun ada pihak masih mempertikai hasrat kerajaan membina jambatan itu, namun tegas beliau, kajian kemungkinan yang dilakukan itu membuktikan kesungguhan kerajaan mengenai pembinaannya.

    Penjelasan Abdul Rahman itu memberi semangat kepada rakyat dan meningkatkan keyakinan mereka terhadap komitmen kerajaan dalam melaksanakan rancangan jangka panjang berkaitan ekonomi pulau ini.

    Sementara itu, ekonomi Labuan beransur-ansur berubah tahun ini dengan penglibatan aktif sektor pelancongan yang menyaksikan jumlah ketibaan pelancong meningkat, terutama hasil daripada peningkatan aktiviti pelancongan di pulau peranginan popular, Pulau Papan dan Pulau Rusukan Kecil.

    Jumlah pelancong domestik dan asing yang berkunjung ke pulau ini melonjak dengan ketara, bukan sahaja untuk melakukan aktiviti selaman skuba dan snorkeling, tetapi juga akitiviti sukan lasak air lain.

    Lokasi aktiviti menyelam kelas dunia yang baru ditemui di Vernon Bank, yang terletak di kawasan perairan Labuan, dan dipromosi ke seluruh dunia melalui platform aktiviti menyelam antarabangsa, DEMA Orlando, Florida 2017, oleh duta selaman terkenal Tourism Malaysia, Clement Lee, merupakan satu lagi kejayaan besar pulau ini dari segi pelancongan dalam menarik penyelam antarabangsa mengunjunginya.

    Dari segi pembangunan sukan pula, Labuan bakal menjadi destinasi tumpuan peminat perlumbaan motosikal dengan pembinaan Litar Sukan Permotoran Antarabangsa Labuan awal tahun depan.
    Melibatkan kos RM7 juta, litar itu akan dibina di kawasan lima ekar di Kiansam dalam dua fasa dan dijadual siap hujung tahun depan.

    Ketua Pemuda Umno Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan berkata Fasa 1 projek itu melibatkan peruntukan RM3 juta melalui Unit Penyelerasan Pelaksanaan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
    Pemuda Umno Labuan memohon pelaksanaan projek itu lima tahun lepas dan diluluskan pertengahan tahun ini.

    Tahun 2017 juga melakar kejayaan membanggakan bagi Labuan dalam bidang sukan apabila empat atlet pulau bebas cukai ini memenangi pingat emas dan gangsa pada Sukan SEA Kuala Lumpur dalam acara boling padang, pencak silat dan ragbi.

    Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata atlet berkenaan bukan sahaja mengharumkan nama pulau ini, tetapi juga Malaysia.

    Satu lagi pencapaian menarik Labuan pada tahun ini ialah apabila ketua polisnya, Adzhar Othman, 58, mencipta sejarah dinaikkan pangkat kepada ACP pada Julai, pangkat tertinggi yang disandang ketua polis pulau bebas cukai ini.

    Antara pencapaian penting beliau di pusat kewangan antarabangsa ini ialah berjaya mengawal peningkatan indeks jenayah dalam tempoh lima tahun lepas.
    Kenaikan pangkat beliau itu juga membuka era baharu dan merupakan suatu pengiktirafan terhadap khidmat cemerlang pasukan polis di sini.

    Sejak penubuhannya, polis daerah Labuan hanya diketuai pegawai berpangkat superintenden.

    Ternyata dalam menghadapi kelembapan industri minyak dan gas, yang menjadi nadi pertumbuhan ekonominya, Labuan tetap mampu melakar kecemerlangan pada 2017. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " 2017 Tahun Mencabar Industri Minyak, Gas "