• 20 Negara Arab 'Berpaling Tadah'

    Published: Tuesday, 26 December 2017
    A- A+


    SEBANYAK 20 negara daripada 22 anggota Liga Arab yang menerima bantuan kewangan atau ketenteraan dari AS bertindak berani apabila menyokong resolusi PBB berhubung isu Baitulmaqdis.

    Negara Arab termasuk Arab Saudi - sekutu rapat AS - tidak mempedulikan ugutan Washington yang mahu menghentikan bantuan kewangan kepada negara yang menyokong draf resolusi tersebut.

    Duta Arab Saudi ke PBB, Abdallah Al-Mouallimi berkata, AS sebenarnya keliru apabila mengiktiraf kota suci itu sebagai ibu negara Israel.

    "Saya berpendapat Trump melakukan kesilapan besar apabila membuat pengumuman tersebut.

    "Dan saya juga percaya, negara-negara yang mendapat bantuan AS berhak untuk membuat keputusan sendiri," kata Abdallah.

    Amerika tak serius

    Jordan - yang menerima bantuan kewangan dari AS - menganggap ugutan Trump sebagai tidak serius.

    "Mereka sebenarnya lebih tahu...Amerika ada kepentingan di wilayah ini," kata seorang menteri Jordan.

    Difahamkan, Amman menerima bantuan ketenteraan berjumlah AS$1.2 juta (RM4.9 juta) setahun dari Washington.

    Sementara itu, bekas Perdana Menteri Jordan, Taher al-Masri percaya peranan Amman sebagai sekutu AS di wilayah bergolak menjadi alasan kuat untuk AS tidak melaksanakan ugutan tersebut.

    Baghdad turut kecam

    Perdana Menteri Iraq Haider al-Abadi menegaskan kerajaan Iraq menolak sekeras-kerasnya cadangan Trump bagi memindahkan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke kota suci itu.

    Cadangan itu susulan pengumuman Trump pada 6 Disember lalu.

    Haider berkata, sekiranya dilaksanakan ia akan memberi kesan buruk kepada kestabilan bukan hanya di rantau berkenaan malah akan membangkitkan kemarahan seluruh umat Islam.

    Justeru beliau menggesa semua negara Islam memainkan peranan masing-masing dalam memastikan hasrat Trump ini tidak akan dapat direalisasikan.

    Tindakan kontroversi Trump itu hakikatnya bukan isu baharu kerana beliau dalam kempen pemilihan presiden sebelum ini telah berjanji akan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis sekiranya terpilih menduduki Rumah Putih. - SH

    Subjects:

  • No Comment to " 20 Negara Arab 'Berpaling Tadah' "