• 2 Pelajar UTM Hidap Tibi Dipantau Rapi

    Published: Friday, 8 December 2017
    A- A+

    JOHOR BAHRU: Dua pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang dikesan menghidap Tuberkulosis (Tibi) atau batuk kering dipantau Pusat Kesihatan universiti itu, selain menjalani pemeriksaan berkala bagi menilai perkembangan semasa mereka.

    Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTM, Prof Dr Durrishah Idrus, berkata kedua-dua pelajar prasiswazah tempatan itu sudah dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas pemeriksaan rutin mendapati mereka positif Tibi.

    Katanya, kedua-dua mereka sudah dimasukkan ke HSA untuk saringan dan dibenarkan kembali ke UTM bagi meneruskan pengajian sambil menjalani rawatan dibekalkan hospital.

    "Mereka kini dipantau oleh Pusat Kesihatan UTM, diberi ubat dan rawatan, selain dikehendaki membuat pemeriksaan berkala untuk menilai perkembangan semasa pelajar.

    "Bagi memastikan tiada pelajar lain yang dijangkiti penyakit berkenaan, Pusat Kesihatan UTM akan membuat saringan terhadap pelajar yang rapat dengan pesakit, terutama di fakulti dan rakan sebilik," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Semalam dilaporkan, dua pelajar perempuan UTM dikesan menghidap Tibi dan siasatan diteruskan bagi mengenal pasti bilangan pelajar yang terkena jangkitan.

    Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Penerangan dan Pendidikan negeri, Datuk Ayub Rahmat dilaporkan, berkata Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru dan Kulai akan menjalankan saringan terhadap pelajar lain yang sekuliah dengan kedua-dua mangsa yang berusia 20-an itu.

    Katanya, saringan secara 'close contact' (berhubung secara langsung) juga akan dijalankan di asrama mangsa di Kolej Tun Fatimah dan Kolej Perdana bagi mengekang penularan penyakit itu.

    Durrishah berkata, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana pesakit Tibi akan sembuh dengan mengambil ubat secara berterusan dan pengawasan secara dekat oleh Pusat Kesihatan UTM.

    "UTM mengambil langkah proaktif membuat saringan terhadap semua pelajar supaya mereka tidak menghidap penyakit yang boleh berjangkit," katanya.

    Pelajar yang batuk berkahak lebih dua minggu dan demam terutama pada sebelah malam sahaja dinasihatkan membuat pemeriksaan di Pusat Kesihatan UTM. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 2 Pelajar UTM Hidap Tibi Dipantau Rapi "