• 2 Buruh Didakwa Cuba Membunuh

    Published: Monday, 18 December 2017
    A- A+

    KOTA BHARU: Dua buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan cuba membunuh seorang lelaki di Kampung Permatang Pasir, Bachok, April lalu.

    Mohd Pazrol Che Omar, 34, dan Muhammad Khaizul Wan Ahmad, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

    Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melepaskan tembakan menggunakan senjata api dengan niat atau mengetahui perbuatan itu boleh menyebabkan kematian kepada Aierierullah Mat Atan, 25.

    Mangsa mengalami kecederaan susulan kejadian di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Permatang Pasir, Bachok, kira-kira jam 1.30 tengah hari, 22 April lalu.

    Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Hajarul Falenna tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh.

    Ahmad Bazli tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 2 Januari depan untuk sebutan semula kes. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 2 Buruh Didakwa Cuba Membunuh "