• 19 Projek RTP Diluluskan Untuk Kemudahan Penduduk Daro

    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+
    DARO: Sebanyak 19 projek menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) telah diluluskan bagi tahun 2017 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro untuk kemudahan dan kesejahteraan rakyat di kawasan berkenaan.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro Safiee Ahmad berkata, kesemua projek berkenaan yang  berjumlah RM5juta melibatkan projek menaiktaraf jambatan, penurapan jalan raya, menaiktaraf jalan kampung, membina semula dewan serbaguna serta projek-projek menaiktaraf prasana lain..

    Menurutnya, sebahagian daripada projek yang diluluskan berkenaan telah dilaksanakan manakala sebahagian lagi masih dalam tempoh perlaksanaan.

    Safiee berkata projek-projek berkenaan telah dipertanggungjawabkan kepada beberapa agensi pelaksana antaranya Jabatan Kerja Raya(JKR), Jabatan Pengaliran dan Saliran(JPS) dan Majlis Daerah Matu/ Daro.

    “Saya amat berbesar hati kerana kami di kawasan luar bandar juga dapat menikmati nikmat pembangunan serta tidak terpinggir dari merasai arus pembangunan negeri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Jesteru katanya, dengan adanya perlaksanaan RTP yang berterusan, dipercayai akan membantu mempercepatkan lagi pembangunan luar bandar khususnya.

    Mengulas lanjut, Safiee berkata ianya jelas membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan masyarakat luar bandar malah sentiasa berusaha membantu membangunkan kawasan luar bandar dengan pelbagai pendekatan dan juga insiatif termasuk dengan memperkenalkan RTP.

    Kerajaan Negeri Sarawak menyalurkan peruntukan sebanyak RM5 juta setiap tahun kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi melaksanakan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk menyelesaikan permasalahan rakyat yang berkaitan dengan kemudahan asas.- Sarawakiana


  • No Comment to " 19 Projek RTP Diluluskan Untuk Kemudahan Penduduk Daro "