• 16 Barangan Kawalan Harga Sempena Krismas

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Krismas 2017 bagi 16 barangan harga terkawal akan berkuat kuasa pada 23 hingga 27 Disember ini.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata skim itu dilaksanakan selama lima hari, iaitu dua hari sebelum dan selepas perayaan serta pada hari perayaan.

    Beliau berkata, skim itu dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

    Katanya, penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bertujuan memastikan harga berpatutan dalam rantaian pengedaran bagi manfaat pengguna dan peniaga.

    Berikut senarai barangan SKHMP Krismas 2017

    1. Ayam hidup

    2. Ayam standard

    3. Ayam super

    4. Ayam tua hidup (dikawal di Sarawak saja)

    5. Ayam Belanda import

    6. Kepak ayam (dikawal di Sarawak, Sabah, Labuan)

    7. Daging kambing tempatan bertulang (dikawal di Semenanjung saja)

    8. Daging kambing/biri-biri import bertulang

    9. Telur ayam gred A

    10. Telur ayam gred B

    11. Telur ayam gred C

    12. Tomato

    13. Lada Benggala hijau

    14. Babi hidup (Dikawal di peringkat ladang saja di Sarawak, Sabah, Labuan)

    15. Daging babi (Perut - dikawal di Sarawak, Sabah, Labuan)

    16. Daging babi (Daging, lemak - Dikawal di Sarawak, Sabah, Labuan)

    Hamzah berkata, peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum ditentukan kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi membezakannya dengan barangan lain.

    "Peniaga digalakkan menjual barangan itu lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperoleh adalah lebih rendah.

    "Pegawai penguat kuasa KPDNKK akan berada di lokasi tumpuan orang ramai di pasar awam, pasar pagi dan pasar tani untuk menjalankan pemeriksaan serta pemantauan," katanya.

    Beliau mengingatkan peniaga, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan skim berkenaan.

    "Tindakan boleh dikenakan terhadap individu ialah penalti oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

    "Bagi syarikat pula, boleh dikenakan penalti oleh mahkamah sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000," katanya.

    Katanya, individu yang melakukan kesalahan gagal meletakkan tanda harga merah jambu bagi barang harga terkawal, boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000..

    "Syarikat yang melakukan kesalahan sama pula boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun hingga RM10,000," katanya.

    Subjects:

  • No Comment to " 16 Barangan Kawalan Harga Sempena Krismas "