• 15 Tahun Bayar Pinjaman Rumah Tak Siap

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Sunday, 10 December 2017
    A- A+

    SHAH ALAM: “Hampir 15 tahun saya membayar pinjaman rumah namun ia masih tidak disiapkan,” kata Zanuri Hussin, 45, pembeli rumah kos rendah Pangsapuri Bukit Rimau Indah Fasa 4, di sini.

    Masalah yang berlarutan sejak 2002 itu membebankan 600 pembeli pangsapuri Fasa 3 dan 4 berkenaan kerana ia masih terbengkalai sehingga kini.

    Malah, mereka mendakwa kawasan terbiar itu turut dijadikan sebagai ‘port’ penagih dadah.

    Zanuri berkata, dia menunggu sejak sekian lama untuk memiliki rumah pertamanya itu.

    “Sudah puas menunggu dan saya perlu membayar rumah sewa dan rumah pangsapuri berkenaan.

    “Namun, entah bila saya dapat tinggal di rumah itu dan tidak mahu terus menyewa sepanjang hidup,” katanya ketika ditemui Metro Ahad bersama 15 pembeli lain di sini, semalam.

    Tinjauan mendapati tiga daripada empat blok di Fasa 4 yang menempatkan unit kos rendah itu sudah hampir siap, manakala blok terakhir di peringkat cerucuk akibat terbengkalai.

    Selain itu, Fasa 3 sepatutnya terdiri daripada tiga blok flat kos sederhana rendah hanya siap 10 peratus.

    Bagi pembeli lain, K Anakili, 33, dia terkesan apabila rumahnya masih di peringkat cerucuk.

    “Saya terpaksa membayar ansuran bulanan rumah RM350 selain rumah sewa yang didiami ketika ini.

    “Untuk apa membayar rumah yang belum nampak hasilnya? Malah, ramai pembeli lain turut disenarai hitam dan diisytihar muflis hanya kerana tidak membayar rumah berkenaan,” katanya.

    Sementara itu, Pengerusi Bertindak Pangsapuri Rimau Indah Zairi Moh, 40, walaupun ada daripada rumah yang hampir siap, bangunan itu sudah semakin usang dan perlu dibaiki secara menyeluruh menerusi pelan pemulihan.

    “Saya sudah membawa masalah ini kepada Kerajaan Selangor dan sedang menunggu reaksi lanjut yang diharap membantu pembeli,” katanya yang turut membeli rumah berkenaan.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 15 Tahun Bayar Pinjaman Rumah Tak Siap "