• 12 Jam Nelayan Hanyut Dipukul Ombak Besar

    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+

    LABUAN: Empat pemancing lelaki menempuh detik cemas apabila bot dinaiki rosak sebelum hanyut kira-kira 12 jam akibat kerosakan enjin di perairan Pulau Tiga, di sini, pagi semalam.

    Bot dinaiki mangsa warga tempatan yang berusia 33 hingga 62 tahun itu mengalami kerosakan, jam 6 pagi sebelum diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Labuan jam 6.50 petang semalam.

    Timbalan Pengarah (Operasi) Daerah, Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar, berkata mangsa diselamatkan kapal peronda maritim sebelum tiba di jeti maritim Labuan, di sini, pada jam 11 malam tadi.

    Katanya, bilik operasi maritim Labuan menerima laporan mengenai sebuah bot dinaiki empat pemancing mengalami kerosakan enjin di perairan Pulau Tiga, jam 11 pagi semalam.

    Sejurus menerima laporan, maritim Labuan mengarahkan sebuah bot peronda untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR). Bagaimanapun, keadaan laut yang bergelora memaksa bot ronda maritim berpatah balik dan digantikan dengan kapal peronda.

    "Operasi SAR berjaya mengesan sebuah bot berwarna biru putih dalam keadaan terapung bersama empat pemancing pada kira-kira 15 batu nautika utara Tanjung Kubung Labuan.

    "Semua mangsa yang ditemui selamat bagaimanapun mengalami keletihan," katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

    Nor Bakari berkata, salah seorang mangsa keluar ke laut pada jam 4.10 petang, pada Sabtu lalu.

    "Ketika sedang memancing pada Sabtu malam, bot mereka hanyut disebabkan hujan lebat dan ombak besar sekali gus memaksa mereka untuk melabuhkan sauh bagi mengelakkan daripada hanyut jauh ke tengah laut.

    "Bagaimanapun, tali yang mengikat pada sauh terputus sebelum mereka mengambil keputusan untuk pulang ke Labuan pada keesokannya.

    "Dalam perjalanan pulang ke Labuan, pagi semalam, enjin bot tiba-tiba rosak dan bot mereka hanyut sebelum ditemui kapal peronda maritim pada petang hari yang sama," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 12 Jam Nelayan Hanyut Dipukul Ombak Besar "