• 12 Ejen Penghantaran Digantung Lesen

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+

    PETRA JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) akan menggantung lesen 12 ejen penghantaran eksport dan import kerana didakwa terbabit dalam kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras ke negara ini.

    Ejen terbabit disiasat selepas Sistem Demerit yang dikuatkuasakan sejak April lalu mengesan pelbagai kesalahan dilakukan terutamanya pemalsuan dokumen import rokok dan minuman keras.


    Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri T Subromaniam, berkata pada masa sama, KDRM juga sedang menyiasat kakitangannya sendiri mungkin terbabit dalam kegiatan pemalsuan pengisytiharan barang itu.

    Katanya, ejen penghantaran yang sedang disiasat kebanyakannya beroperasi di Pelabuhan Klang, Johor Bahru, Bukit Kayu Hitam, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah.

    "Ejen penghantar yang disiasat itu dikenal pasti berulang kali melakukan kesalahan dengan mengutip melebihi 40 mata kesalahan yang dilaksanakan mengikut Sistem Demerit.

    "Ejen terbabit didapati menggunakan dokumen pengisytiharan dan alamat palsu dalam deklarasi barang-barang yang mereka bawa masuk," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media rampasan rokok di Ibu Pejabat KDRM Sarawak, di sini, hari ini.

    Satu kontena rokok yang bernilai RM390,000 dengan nilai cukai sebanyak RM3.02 juta dirampas di Pelabuban Senari, Kuching pada 4 Disember lalu.

    Berdasarkan dokumen import, rokok yang dibawa dari Vietnam itu diikrar sebagai penggilap kuku dan pencuci muka dalam Sistem Maklumat Kastam dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

    Mengulas lanjut, Subromaniam berkata, adalah mustahil ejen itu tidak mengetahui kandungan barang dalam kontena yang tidak sama dengan yang diisytiharkan oleh pelanggan mereka.

    "Kesalahan seperti ini bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada negara kerana mereka cuba lari daripada membayar cukai, tetapi juga boleh mengancam keselamatan negara.

    "Macam mana jika pelanggan mereka itu membawa bom masuk ke negara ini dan mengisytiharkannya sebagai barang lain," katanya sambil memaklumkan terdapat 3,000 ejen penghantaran yang berdaftar dengan jabatan itu di seluruh negara. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 12 Ejen Penghantaran Digantung Lesen "