• 116 Inisiatif Di Bawah NBOS Dilaksanakan Sejak 2009

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR -- Lebih 80 jabatan dan agensi kerajaan telah melaksanakan 116 inisiatif di bawah konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) secara kolaboratif sejak ia dilancarkan pada 2009, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

    Timbalan Menteri Kewangan Datuk Lee Chee Leong berkata hasil kerjasama itu telah berjaya memecahkan benteng silo birokrasi yang sebelum ini memberi kesan terhadap kelancaran program-program kerajaan dan mengelakkan pembaziran sumber kewangan serta tenaga manusia.

    "Contoh terbaik inisiatif NBOS ialah Pusat Transformasi Nasional (UTC) yang merupakan pusat sehenti pelbagai perkhidmatan kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) yang waktu operasinya melangkaui waktu (kerja) biasa.

    "Pada masa ini terdapat 20 UTC di seluruh negara dengan penjimatan pembangunan kerajaan dianggarkan RM2 bilion dengan sambutan yang menggalakkan iaitu telah memberikan perkhidmatan kepada kira-kira 55 juta pengunjung sejak 2013," katanya.

    Beliau menjawab soalan Senator Ramli Shariff yang ingin tahu keberkesanan kerjasama di bawah konsep NBOS dan adakah terdapat sebarang pertindihan fungsi antara agensi-agensi yang terlibat.

    Lee berkata antara cabaran melaksanakan strategi NBOS ialah kolaborasi merentasi struktur organisasi dalam kalangan jabatan dan agensi kerajaan selain permintaan meluas inisiatif-inisiatif popular seperti UTC dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).

    "Bagaimanapun, cabaran itu dapat diatasi bersama sebelum sesuatu cadangan itu dilaksanakan dan kerajaan terus komited untuk memastikan inisiatif seperti UTC dibangunkan di setiap negeri sebelum diluaskan ke bandar-bandar utama yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi," katanya.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " 116 Inisiatif Di Bawah NBOS Dilaksanakan Sejak 2009 "