• 10,000 Pelarian Dibenar Masuk Eropah

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Monday, 25 December 2017
    A- A+

    ROME: Kira-kira 10,000 orang yang terkandas di kem pelarian dan pusat tahanan di Libya akan ditempatkan semula di Eropah pada 2018, kata kerajaan Itali, hari ini.

    Inisiatif itu adalah sebahagian usaha negara Kesatuan Eropah (EU) untuk menangani keadaan yang semakin buruk di Libya apabila ribuan pelarian ditahan dalam keadaan tidak berperikemanusiaan.

    "Pada 2018, sehingga 10,000 pelarian boleh datang ke Eropah tanpa risiko, menerusi koridor kemanusiaan," kata Menteri Dalam Negeri Itali, Marco Minniti, dalam temubual dengan akhbar La Repubblica.

    Pengumuman dibuat selepas sekumpulan 162 pelarian dari Eritrea, Habsyah, Somalia dan Yaman, dipindahkan dari Libya dan tiba dengan pesawat tentera di Rome kelmarin.

    Kumpulan itu termasuk ibu tunggal, kanak-kanak yang tiada penjaga dan orang kurang upaya, dan adalah kali pertama pelarian dan pendatang ditempatkan semula secara langsung ke Eropah oleh Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

    Kira-kira 400,000 pendatang berada di Libya termasuk 36,000 kanak-kanak, kata UNICEF dan Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) awal bulan ini.

    Pada 2018, IOM mensasarkan untuk menghantar pulang 30,000 pendatang ke negara mereka sebagai sebahagian program kepulangan suka rela. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " 10,000 Pelarian Dibenar Masuk Eropah "