• Wira Tren Bunuh Ular

    Published: Friday, 24 November 2017
    A- A+

    JAKARTA: Seorang lelaki dianggap wira di Internet selepas videonya membunuh ular di dalam kereta api sesak dengan penumpang hanya menggunakan tangannya menjadi tular.

    Kereta api itu dihentikan sebaik reptilia itu ditemui menjalar pada rak bagasi ketika pengangkutan itu dalam perjalanan ke Jakarta dari Bogor.

    Video kejadian yang pantas tular di media sosial itu menunjukkan lelaki berkenaan selamba menyambar ekor ular terbabit sebelum dengan ganas menghempas kepalanya ke lantai.

    Haiwan itu mati serta-merta dengan penumpang yang menyaksikan kejadian termasuk pengawal keselamatan menjauhkan diri.

    Lelaki tidak dikenali itu kemudian menolak bangkai haiwan sepanjang kira-kira satu meter itu dengan kaki keluar dari pintu kereta api untuk dikutip kakitangan keselamatan.

    Tidak diketahui spesies ular itu atau sama ada ia berbisa atau sebaliknya.

    Tiada kecederaan terhadap penumpang dilaporkan.

    Pengendali kereta api, KCI berkata, haiwan itu dipercayai keluar dari beg penumpang.

    “Kami amat kesal dengan kejadian berkenaan dan meminta maaf kepada semua penumpang kami yang terjejas,” kata jurucakap KCI, Eva Chairunnisa.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Wira Tren Bunuh Ular "