• WIEF Mendukung Sarawak Memacu Ke Arah Ekonomi Digital

    Published: Friday, 24 November 2017
    A- A+


    KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyifatkan penganjuran Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Ke-13 penting kerana ia mendukung Sarawak memacu ke arah ekonomi digital.

    “Segala input, cadangan dan idea serta saranan sudah tentunya akan membantu malah memberi perangsang untuk Sarawak mencapai visi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya di sini, semalam.

    Difahamkan, lebih 2,000 peserta dari 77 negara menyertai WIEF Ke-13 bertemakan ‘Perubahan Gangguan: Kesan Dan Cabaran’ yang berlangsung selama tiga hari dari 21 November hingga semalam.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Awang Tengah memberitahu, kerajaan negeri akan meneruskan kerjasama dalam pelbagai sektor bersama negara jirannya, Brunei dan Kalimantan Barat Indonesia.

    Beliau menjelaskan kerjasama tersebut turut melibatkan pembangunan di kawasan berhampiran sempadan selain sektor pelancongan dan juga, perkhidmatan.

    “Pada masa ini, kita (Sarawak) membekalkan tenaga elektrik 150 megawatt kepada Indonesia dan ada permintaan untuk penambahan untuk bekalan elektrik dari negara tersebut,” ujarnya.

    Sementara itu, Awang Tengah turut menyarankan semua pemain industri di negeri ini agar jangan takut dengan perubahan gangguan, sebaliknya melihat ia dari sudut positif.

    “Kesimpulannya, apa yang penting dalam kita menghadapi perubahan gangguan, kita harus berani menghadapi cabaran dan merebut peluang ke arah memajukan perniagaan masing-masing selain meningkatkan keberkesanan perkhidmatan dalam pelbagai sektor,” jelasnya.. – Sarawakiana
  • No Comment to " WIEF Mendukung Sarawak Memacu Ke Arah Ekonomi Digital "