• Waspada impak kembar Russia

    Published: Tuesday, 7 November 2017
    A- A+


    MOSCOW: Pasukan lawan Russia kini perlu lebih berhati-hati dengan penampilan kembar seiras, Anton dan Alexei Miranchuk pada Piala Dunia 2018.

    Kembar Mirancuk berusia 22 tahun itu tampil dalam skuad kebangsaan negara itu buat pertama kali bulan lalu selepas pengurus Stanislav Cherchesov menilai aksi cemerlang mereka bersama pendahulu liga Russia Lokomotiv Moscow.

    "Kami memberi peluang buat pemain baru membuktikan kemampuan mereka dalam pasukan yang sudah pun layak ke Piala Dunia 2018," kata Cherchesov selepas perlawanan persahabatan dengan Korea Selatan dan Iran.

    "(Mario) Fernandes, (Konstantin) Rausch dan kembar Miranchuk tampak cemerlang bersama kelab masing-masing musim ini dan kami perlu menguji mereka dalam skuad kebangsaan.

    "Semua ini membantu kami membuat pilihan untuk skuad Piala Dunia."

    Presiden bola sepak negara itu Vitaly Mutko menyambut baik kehadiran kembar dari bahagian selatan Krasnodar sebagai generasi pemain baru berdedikasi, selepas kempen Euro 2016 yang tidak menjadi.

    Sementara itu kembar berkenaan berkata peluang menyertai pasukan kebangsaan meningkatkan lagi keyakinan mereka.

    "Ia benar-benar memberi motivasi buat kami apabila dipanggil menyertai skuad kebangsaan. Sukar meluahkannya dengan kata-kata," kata Anton yang membuat penampilan sulungnya bersama skuad Russia ketika menang 4-2 ke atas Korea Selatan bulan lalu.

    "Tentunya ia satu tanggungjawab besar. Apabila anda menyertai skuad kebangsaan, ia memberikan pengalaman, perasaan dan peluang baru. Memang hebat," kata Alexei yang lebih dahulu menyertai Russia pada 2015, kini 12 kali mewakili negara. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Waspada impak kembar Russia "