• Wanita Saman Pengantin Lelaki Yang 'Ghaib'

    Published: Tuesday, 7 November 2017
    A- A+

    BANGKOK: Seorang wanita menyaman bakal pengantin lelakinya selepas lelaki itu tidak muncul pada hari perkahwinan mereka dengan alasan tidak cukup wang untuk membayar duit hantaran.

    Arunee Jaengkrachang, 24, sepatutnya berkahwin dengan kekasihnya, Boonyang Sawatdee, 26, di kampungnya di Khao Din, Kabin Buri di Prachinburi pada 22 Oktober lalu.

    Bagaimanapun, ketika majlis berlangsung, Boonyang, keluarganya dan semua ahli keluarga mereka langsung tidak muncul.

    Keluarga Arunee yang berang pergi ke rumah keluarga Boonyang di bandar Sa Kaeo tetapi mereka melarikan diri.

    Keadaan itu menyebabkan keluarga Arunee terpaksa mengumumkan majlis itu terpaksa dibatalkan.

    Arunee dilaporkan menangis dan hampir pengsan apabila mengetahui bakal suaminya melarikan diri. Dia juga mengambil keputusan berhenti kerja kerana terlalu malu.

    Tidak lama selepas itu, keluarga Arunee mendapat tahu Boonyang tidak dapat menyediakan wang hantaran.

    Sebelum ini kedua-dua keluarga bersetuju dengan wang hantaran berjumlah 200,000 baht (RM25,561) dan barangan kemas.

    Keluarga Arunee kini menyaman Boonyang dengan alasan mereka sudah membayar lebih 100,000 baht (RM12,780) untuk majlis itu dan masih berhutang 22,000 baht (RM2,811) untuk makanan.

    Mereka juga menuntut ganti rugi kewangan dan moral yang dihadapi akibat terpaksa membatalkan perkahwinan itu.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Wanita Saman Pengantin Lelaki Yang 'Ghaib' "