• Wanita Berkerjaya Tidak Subur?

    Published: Thursday, 23 November 2017
    A- A+

    JOHOR BAHRU – Jumlah wanita berkerjaya yang semakin tinggi ketika ini dikhuatiri menjejaskan kadar kesuburan mereka, menurut pakar IVF dari Singapura, Prof Ng Soon-Chye.

    Katanya, bilangan wanita berkerjaya yang semakin besar menyebabkan mereka lewat mendirikan rumahtangga, seterusnya menjejaskan kadar kesuburan secara keseluruhan.

    Pendapat berkenaan disokong angka daripada statistik Jabatan Perangkaan yang menunjukkan kadar kesuburan wanita berusia antara 15 dan 49 tahun menurun daripada 2.0 bayi pada 2015 kepada 1.9 bayi pada 2016.

    Fenomena itu sekaligus meningkatkan permintaan bagi rawatan In-Vitro Fertalisation (IVF) di Malaysia, jelasnya kepada Astro AWANI ketika ditemui pada majlis pelancaran IVF Centre@Medini, di sini pada Rabu.

    Menurut beliau yang juga Pengarah Perubatan pusat IVF itu, wanita Malaysia kini memilih untuk mempunyai kerjaya yang stabil sebelum mendirikan rumahtangga dan membina keluarga.

    “Selepas (kerjaya) stabil, selalunya pada umur 30 hingga 40 tahun, barulah mereka mahu berkahwin. Ini menyebabkan kadar kesuburan mereka terjejas,” kata Soon-Chye.

    IVF yang juga dikenali sebagai persenyawaan tabung uji merupakan kaedah bagi membantu pasangan mendapatkan cahaya mata.

    Hospital Gleneagles Medini melancarkan pusat IVF tersebut bagi rawatan kesuburan yang menggunakan peralatan canggih dan infrastruktur bertaraf dunia membabitkan pelaburan sebanyak RM6 juta.

    Pusat sehenti yang dikenali IVF Centre@Medini itu dibangunkan pada keluasan 557.42 meter persegi dan menyediakan perkhidmatan kesuburan yang lengkap termasuk peringkat diagnosis sehingga rawatan.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Hospital Gleneagles Medini, Koh Lee Lee percaya pusat IVF itu mampu menarik lebih ramai pelancong dari Singapura, Indonesia dan China untuk menjalani rawatan sambil melancong.

    “Ia sejajar dengan sasaran Malaysia sebagai hub rawatan kesuburan Asia,” tambahnya. – www.astroawani.com

    Subjects:

  • No Comment to " Wanita Berkerjaya Tidak Subur? "