• Visa Umrah: Saudi Wajib Biometrik Kecuali Malaysia…

    Published: Tuesday, 14 November 2017
    A- A+

    RIYADH – Hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi akhir-akhir ini menyaksikan bukan sahaja negara Asia tenggara itu menerima tambahan kuota jemaah haji terbesar baru-baru ini.

    Terkini, Malaysia dilaporkan tidak termasuk dalam senarai negara yang memerlukan setiap bakal jemaah umrah melakukan pengesahan pendaftaran biometrik ketika memohon visa khas untuk menunaikan ibadah tersebut.

    Menurut portal tempatan Saudi Gazette, semua kedutaan Arab Saudi di seluruh dunia diarahkan mendaftar butiran biometrik pemohon visa umrah bagi urusan ibadah itu mulai 1 Rabiulawal 1439 Hijrah atau 20 November ini.

    Bagaimanapun, jemaah umrah yang sudah berusia 70 tahun ke atas dan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun masih lagi dikecualikan Kerajaan Arab Saudi daripada menjalani proses pendaftaran imbasan cap jari dan wajah itu.

    Langkah tambahan yang tidak dijangka itu susulan usaha tegas pihak berkuasa Arab Saudi atas faktor keselamatan bagi mengekang penyusupan anggota pengganas mengambil kesempatan dengan menyamar sebagai jemaah umrah.

    “Pendaftaran biometrik sebelum ini dibuat di pintu masuk sempadan atau pusat pemeriksaan imigresen di lapangan terbang namun kali ini dibuat terus di negara asal jemaah terbabit,” kata pegawai Arab Saudi yang enggan dikenali.

    Akhbar berbahasa Arab terkenal Al-Hayat melaporkan, langkah terbaharu itu dijangka memendekkan masa beratur di tempat pemeriksaan imigresen dan menambah baik kaedah pendaftaran jemaah menjadi lebih cekap sistematik.

    Berita pelaksanaan pendaftaran biometrik itu namun menyebabkan ada beberapa negara terkesan terutama yang diketahui agak bermasalah antaranya Pakistan apabila proses tersebut mengakibatkan pertambahan kos baharu.

    Pengerusi Persatuan Agensi Pengembaraan Pakistan (TAAP), Muhammad Yahya Polani dilaporkan akhbar negara itu mendakwa, kos permohonan visa umrah naik sebanyak 650 rupee (kira-kira RM26) untuk setiap jemaah.

    “Ini agak beban kepada orang miskin dan tidak berpendidikan khasnya dari pedalaman untuk datang ke enam pusat pendaftaran biometrik ditetapkan pihak kerajaan Arab Saudi di Pakistan yang dikenali sebagai Etimad,” katanya.

    Setiap tahun dianggarkan 1.2 juta rakyat Pakistan mengerjakan umrah di tanah suci. Sementara itu di Singapura, lebih 5,000 jemaah dijangka terjejas untuk menunaikan ibadah itu sepanjang November dan Disember ini.

    Presiden Persatuan Ejen Pengembaraan Islam Singapura (AMTAS), Ustaz TM Fouzy dipetik media tempatan melaporkan VFS Tasheel International mengenakan caj S$8 (kira-kira RM25) bagi setiap visa umrah diproses.

    “Kami memang kesuntukan masa kerana agak lambat dimaklumkan oleh pihak Kedutaan Arab Saudi apatah lagi ejen tunggal yang dilantik itu cuma dapat proses 500 permohonan setiap hari,” kata beliau dengan nada kesal.

    Ibadah umrah mula dilakukan Rasulullah SAW bersama 2,000 pengikut pada tahun 7 Hijrah atau 629 Masihi dan kini jutaan jemaah dari seluruh dunia melakukan amalan sunah itu setiap tahun. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " Visa Umrah: Saudi Wajib Biometrik Kecuali Malaysia… "