• UUM jalin kerjasama dengan Alibaba Business School

    Published: Friday, 24 November 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR 24 Nov. - Universiti Utara Malaysia (UUM) menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Alibaba Business School bagi menjalinkan kerjasama pengajian di bawah Akademi Kepimpinan Global Alibaba, di sini hari ini.

    Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak mewakili UUM manakala Alibaba Business School diwakili Naib Presiden Kumpulan Alibaba, Brian Wong sambil disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Timbalannya, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching.

    Mohamed Mustafa berkata, menerusi MoU ini UUM dan Alibaba Business School akan menjalinkan pelbagai lagi kerjasama seperti latihan keusahawanan dan program e-Dagang global.

    "MoU ini adalah susulan daripada lawatan dan perbincangan Kementerian Pendidikan Tinggi ke Ibu Pejabat Alibaba, baru-baru ini.

    "UUM diberi kepercayaan untuk mengetuai kerjasama antara kedua-dua pihak ini bagi turut melibatkan semua universiti awam yang lain termasuk Politeknik di negara ini," katanya.

    Menurutnya, kedua-dua belah pihak akan sentiasa berusaha menguatkan, menggalakkan dan membangunkan kerjasama ini dengan memberikan faedah kepada kedua-dua belah pihak terutamanya pelajar.

    Sementara itu, dalam ucapannya, Brian berkata, berbanding kita memilih untuk mengubah sistem pendidikan, adalah lebih baik jika kita terus mengambil dan menggunakan pakai pelbagai perubahan pesat yang berlaku dalam dunia pendidikan hari ini.

    "Pendidikan hari ini semakin dinamik dan tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah pembelajaran satu hala sahaja atau mendengar syarahan pensyarah.

    "Pelajar hari ini adalah mereka yang juga bergelar usahawan yang berjaya walaupun masih belum mendapat ijazah lagi.

    "Mereka mesti mengambil peluang-peluang perniagaan ketika masih dalam belajar," katanya. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " UUM jalin kerjasama dengan Alibaba Business School "