• Urus Niaga Forex BNM Bercanggah CBO

    Published: Thursday, 30 November 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Urus niaga tukaran wang asing (forex) Bank Negara Malaysia (BNM) bermula penghujung tahun 1980-an hingga 1993 adalah berlebihan dan bersifat spekulatif untuk tujuan keuntungan, sekali gus bercanggah dengan Seksyen 31(a) Akta Bank Pusat (CBO) 1958.

    Pendedahan itu terkandung dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar tahun 1990-an dibentangkan di Parlimen, hari ini.

    Laporan itu menjelaskan, hujah BNM mengatakan aktiviti berkenaan dilakukan untuk pengurusan rizab tidak boleh diterima kerana jumlah yang terbabit amat besar dan bersifat spekulatif untuk mengaut keuntungan.

    "Kesimpulan ini dicapai berdasarkan jumlah yang terbabit sehingga meletakkan rizab bank dalam keadaan berisiko dan bukannya bertujuan untuk melindungi rizab.

    "Suruhanjaya berpandangan dua pendapat undang-undang daripada Shook Lin & Bok dan Queen's Cornsel tidak membolehkan sepenuhnya urus niaga forex BNM yang mana mereka menyatakan aktiviti berkenaan dibenarkan selagi ia dilaksanakan untuk tujuan pengurusan rizab.

    "Peguam tidak membuat apa-apa rujukan atau komen mengenai aktiviti dagangan yang dijalankan pada masa itu," kata laporan berkenaan.

    Penemuan itu terhasil daripada siasatan terhadap penentuan sama ada pembabitan BNM dalam aktiviti urus niaga forex yang menyebabkan kerugian adalah bertentangan dengan CBO atau mana-mana undang berkaitan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Urus Niaga Forex BNM Bercanggah CBO "