• UPSR: Tiada Sambutan Kejayaan, Semua Calon Diraikan

    Published: Thursday, 23 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR — Suasana sederhana tanpa sebarang sambutan jelas kelihatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Setiawangsa di sini ketika ibu bapa dan anak masing-masing mendapatkan keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hari ini.

    Tinjauan Bernama mendapati rata-rata calon tiba seawal 10 pagi itu ditemani ibu bapa masing-masing kelihatan agak tenang menantikan detik yang dinantikan apabila guru yang dipertanggungjawabkan mengedarkan slip keputusan UPSR kepada 347 calon di 12 kelas darjah 6 kira-kira pukul 11 pagi.

    Mithli Nabilah Mohd Shahrul Azmi yang mendapat keputusan 3A bagi kertas peperiksaan Bahasa Melayu (Penulisan), Bahasa Inggeris (Pemahaman) dan Sains manakala 3B untuk Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Inggeris (Penulisan) dan Matematik, mendedikasikan kejayaaan itu kepada ibu bapanya.

    Anak sulung daripada empat beradik itu kelihatan agak kecewa memandangkan dia memperoleh keputusan 4A dan 2B ketika peperiksaan percubaan UPSR baru-baru ini namun ditenangkan ibu bapanya yang tidak putus-putus memberikannya kata-kata semangat.

    “Alhamdulillah dengan pencapaian ini hasil usaha saya serta berkat doa dan sokongan ibu bapa,” kata Tokoh Kanak-kanak Peringkat Sekolah bersempena sambutan Hari Kanak-Kanak baru-baru ini.

    Selain keputusan akademik, Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah yang mula diperkenalkan tahun ini turut merangkumi tiga lagi komponen keputusan bagi Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum; Pentaksiran Bilik Darjah; dan Pentaksiran Psikometrik.

    Sementara itu, bapanya Mohd Shahrul Azmi Sabuddin, 39, yang menyambut baik saranan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid agar kesemua calon UPSR diraikan berpendapat bahawa penghargaan daripada kedua-dua ibu bapa adalah lebih bermakna berbanding kejayaan yang diraikan pihak lain.

    “Dari dahulu lagi saya tidak setuju acara rai calon peperiksaan ini apatah lagi bagi calon UPSR. Perjalanan mereka masih jauh. Jangan rosakkan emosi mereka pada usia muda sebegini,” katanya.

    Mahdzir baru-baru ini menyarankan supaya tidak membebani tugas guru dengan mengadakan majlis khas meraikan pelajar cemerlang UPSR sedangkan ratusan murid calon UPSR lain hanya memerhati sahaja dengan perasaan mereka tidak dihargai.

    Saranan tersebut disambut baik rata-rata warga pendidik, badan bukan kerajaan (NGO) dan ibu bapa yang berpandangan bahawa ia memberi peluang kepada semua pihak untuk menilai semula impaknya terutama kepada pelajar kurang cemerlang.

    Mastura Omar, 44, ibu kepada calon UPSR Mustapha Rosli yang mendapat keputusan 4A bagi kertas peperiksaan Bahasa Melayu (Pemahaman dan Penulisan), Bahasa Inggeris (Pemahaman) dan Sains manakala 2B bagi Bahasa Inggeris (Penulisan) dan Matematik amat mengalu-alukan saranan itu dan berpendapat ia bukanlah suatu kemestian.

    Mustapha merupakan anak bongsu daripada dua beradik itu menghidapi penyakit otot mengecut pada bahagian kaki sejak dilahirkan, namun kekurangan itu tidak menghalangnya untuk membanggakan kedua-dua ibu bapanya.

    Senada dengan Mohd Shahrul Azmi, Mastura yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah rendah di Lembah Klang berkata tiada sambutan bukanlah bermakna tiada penghargaan daripada para guru atau ibu bapa, sebaliknya tindakan itu sebagai menjaga emosi dan perasaan calon yang kurang cemerlang.

    “Sebagai seorang guru, saya tidak sampai hati melihat calon yang kurang cemerlang seolah-olah tidak diraikan sebelum ini. Pendekatan kementerian amat efektif. Kita sebagai orang dewasa sepatutnya kena bina semangat positif bukannya memberi tekanan kepada mereka,” katanya yang berkhidmat sebagai guru sejak 1996.

    Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Setiawangsa Shahpandi Abdul Manan merumuskan bahawa pencapaian UPSR 2017 SK Setiawangsa yang merupakan Sekolah Berprestasi Tinggi adalah amat memuaskan memandangkan terdapat peningkatan berbanding tahun lepas.

    Bagaimanapun, Shahpandi enggan mendedahkan jumlah pelajar berserta keputusan masing-masing sebagai menyahut saranan Mahdzir sekaligus menjaga emosi murid yang masih muda dan bakal menghadapi peperiksaan besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia pada usia 17 tahun kelak.

    “Kita tidak mahu patahkan semangat mereka. Jangan sesekali wujudkan perasaan tersisih dalam kalangan anak-anak kita. Sebaliknya terus beri sokongan mental untuk dorong mereka lakukan yang terbaik,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " UPSR: Tiada Sambutan Kejayaan, Semua Calon Diraikan "