• Undi Belah Bahagi: Tindakan Diambil Terhadap Wakil BN Gagal Hadir

    Published: Wednesday, 22 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) telah mengambil tindakan terhadap wakil rakyatnya yang gagal hadir semasa sesi pengundian belah bahagi Rang Undang-undang Perbekalan (Bajet 2018) peringkat jawatankuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Isnin lalu.

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, Ahli Parlimen BN perlu memandang serius kejadian yang berlaku hingga menyebabkan kerajaan hampir tewas pada pengundian tersebut.

    "Saya sudah ambil tindakan. Saya juga sudah tegur mereka yang mereka perlu lebih serius dalam soal menghadiri sidang (Dewan Rakyat)," katanya yang juga Ketua Whip BN pada satu sidang media di lobi Dewan Rakyat, hari ini.

    Pada Isnin, G Manivannan (PKR-Kapar) memohon proses undian belah bahagi diadakan ketika Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee meminta persetujuan wakil rakyat untuk meluluskan kepala bekalan dan pembangunan B25/P25 KPDNKK.

    Undian belah bahagi menghasilkan keputusan 52 Ahli Parlimen bersetuju, manakala 51 tidak bersetuju dan dua lagi berkecuali.

    Bagaimanapun, keputusan undi belah bahagi itu mencetuskan kekecohan dan kemarahan wakil rakyat pembangkang yang mendakwa Kiandee tidak berlaku adil dan wujud penipuan ketika proses pengundian dijalankan.

    Ketika itu, lebih daripada 80 Ahli Parlimen BN tidak hadir.-Astro Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Undi Belah Bahagi: Tindakan Diambil Terhadap Wakil BN Gagal Hadir "